Banjir: 12 jam tunggu tanpa makanan, anak lega ibu bapa diselamatkan
SEGAMAT, 2 Mac – Seorang wanita menarik nafas lega apabila kedua ibu bapanya serta abangnya yang menjadi mangsa banjir di Chaah, dekat sini, diselamatkan oleh anggota penyelamat selepas 12 jam terperangkap.
D.Kalai Arasi, 29, berkata dia dihubungi oleh abangnya D.Yogesvaran, 32, pada 3 pagi semalam yang memberitahu kediamannya di Pekan Chaah dinaiki air banjir sedalam satu meter.
Kalai Arasi yang tinggal di Johor Bahru bimbang keadaan kedua ibu bapanya, K.Dhevaseelan, 65, dan S.Ramai, 62, yang merupakan golongan warga emas dan turut menghidap darah tinggi.
“Ketika air telah mula memasuki rumah, abang saya menyelamatkan barang-barang dan dokumen yang penting, sementara ibu dan bapa berteduh di tembok luar rumah sambil mengharapkan ada pihak yang menyelamatkan mereka.
“Abang, ibu dan bapa mula menghubungi sesiapa sahaja untuk diselamatkan termasuk pasukan keselamatan namun usaha mereka tidak berjaya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut Kalai Arasi, dia mula bimbang dengan keadaan berkenaan dan hampir setiap jam menghubungi abangnya untuk mengetahui keadaan ibu bapa mereka.
Dia turut menghubungi kenalan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk meminta bantuan, yang kemudiannya maklumat mengenai mereka disalurkan kepada anggota penyelamat termasuk lokasi mereka berada.
Kalai Arasi berkata ketiga-tiga mereka yang berada dalam keadaan basah kuyup kemudian diselamatkan anggota bomba dan tentera menggunakan bot pada 5.30 petang.
“Selepas dimaklumkan abang bahawa mereka telah dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bali, barulah saya lega dan mula menjamah makanan, yang saya tidak sentuh semenjak awal pagi.
“Ketika diselamatkan pasukan penyelamat, keadaan ayah hampir pengsan kerana kesejukan dan kelaparan, namun saya bersyukur dan berterima kasih kerana mereka berjaya diselamatkan sebelum waktu malam,” katanya yang memahami jalan terputus antara Chaah dengan Labis telah menyebabkan kelewatan misi menyelamat.
Segamat kini daerah paling terjejas banjir di negeri ini dengan jumlah mangsa seramai 7,272 orang.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.