70 pemandu teksi dan kereta sewa terima bantuan Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BACHANG 6 Mei – Seramai 70 pemandu teksi dan kereta sewa yang bernaung di bawah lima persatuan menerima pemberian duit raya dan saguhati serta beras sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan.

Lima persatuan berkenaan adalah Gabunan Persatuan Kereta Sewa dan Teksi Negeri Melaka; Kesatuan Tuan-tuan Empunya Kereta Sewa negeri; Persatuan Pemilik Pemandu Kereta Sewa/ Teksi Melayu Melaka (PEKASATIM); Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Kereta Sewa dan Teksi Perbandaran Melaka dan Persatuan Pemilik dan Pemandu Kereta Sewa Terminal Melaka Sentral.

Pengerusi Lembaga Pengarah Melaka Sentral Sdn Bhd, (MSSB), Datuk Wira Hasnoor Sdg Husin berkata, pihaknya memahami akan kesulitan dialami semua ahli persatuan yang hilang punca pendapatan sejak pandemik COVID-19 melanda negara, terutama apabila aktiviti rentas negeri tidak dapat dilaksanakan.

HASNOOR (dua dari kanan) bersama Abu Bakar (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada persatuan pemandu teksi dan kereta sewa di Melaka Sentral.

Katanya, berikutan itu MSSB berbesar hati untuk memberikan sumbangan itu sebagai inisiatif meringankan beban semua pemandu teksi dan kereta sewa di negeri ini.

“Selain pemberian duit raya kepada semua ahli, kita turut memberikan wang tunai RM250 dan sumbangan tahunan sebanyak RM1,000 kepada lima persatuan berkenaan.

“Jumlah keseluruhan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) MSSB kepada pemandu teksi dan kereta sewa ini bagi program kebajikan dianggarkan RM85,000 setahun,” katanya berucap pada majlis penyerahan sumbangan Hari Raya kepada pemandu teksi dan kereta sewa negeri ini di Melaka Sentral di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar MSSB, Abu Bakar Jani dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1013
Kongsi :
Previous post Impian kerja terhalang
Next post Tun Ariffin Zakaria dilantik Pengerusi Kumpulan PNB, Pemegan Amanah YPB
Ubah saiz-+=