80 positif COVID-19, kilang di Krubong cetus kluster baharu

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 29 Ogos – Sebuah kilang di kawasan perindustrian Krubong mencetuskan kluster baharu di negeri ini yang dikenali sebagai Kluster Industri Jalan PK 34.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seramai 199 pekerja telah disaring daripada kluster berkenaan dan setakat ini 80 dikesan positif COVID-19.

Jelas kenyataan itu, kluster berkenaan mula dikesan daripada seorang pekerja asing yang mula bergejala pada 18 Ogos lalu.

“Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja di sebuah kilang yang terletak di Jalan PK 34 Kawasan Perindustrian Krubong di daerah Melaka Tengah.

“Kes indeks adalah lelaki warganegara Myanmar berumur 25 tahun yang disahkan positif hari ini hasil saringan individu bergejala,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka memaklumkan terdapat pertambahan 636 kes baharu hari ini yang majoritinya disumbangkan kluster kilang iaitu sebanyak 301 kes.

Selain itu, kontak keluarga menjadi penyumbang kedua terbesar kes harian iaitu sebanyak 213 kes, diikuti 79 kes saringan bergejala orang ramai, 35 kes tempat kerja bukan kilang dan enam kes melibatkan institusi penjara.

JKN Melaka turut memaklumkan sebanyak 789 kes sembuh telah direkodkan hari ini, menjadikan keseluruhan 39,081 individu telah sembuh daripada jangkitan COVID-19 di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

618
Kongsi :
Previous post Jadikan kilang sebagai PPV jika punya pekerja asing- PM
Next post Individu 50 tahun ke atas boleh ‘walk in’ di 15 PPV awam esok
Ubah saiz-+=