Individu 50 tahun ke atas boleh ‘walk in’ di 15 PPV awam esok

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 29 Ogos – Individu berusia 50 tahun ke atas di negeri ini yang belum mendapat tarikh janji temu menerusi MySejahtera boleh hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam secara terus (walk in) bermula esok untuk suntikan vaksin COVID-19.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, 15 PPV awam melibatkan lapan lokasi di daerah Melaka Tengah, empat di Alor Gajah dan tiga di Jasin telah dibuka untuk tujuan itu.

Bagaimanapun, hanya 50 individu terawal sahaja akan menerima vaksin menerusi slot ‘walk in’ itu pada setiap hari di setiap PPV awam yang tersenarai.

“Bermula esok, individu di Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh ‘Walk In’ ke PPV Awam yang disenaraikan.

“Kuota itu diberikan bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari dan terhad kepada 50 orang setiap hari di setiap PPV.

“Bagi individu yang telah menerima tarikh janji temu, sila patuhi tarikh yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Antara PPV awam di daerah Melaka Tengah yang membenarkan ‘walk in’ bagi individu berusia 50 tahun ke atas ialah di Dewan Tun Ali Bukit Katil, PPV Encore Klebang, Dewan Hang Tuah, Dewan CTRM, Dewan MMU, Dewan JAPERUN Ayer Molek, Yayasan Toh Puan Zurina dan PPV Mega Stadium Hang Jebat.

Bagi daerah Alor Gajah pula, PPV awam yang dibuka ialah di Dewan Kompleks Sukan Masjid Tanah, Dewan CReaTe Alor Gajah, Dewan UiTM Lendu dan Dewan JAPERUN Sungai Udang.

Sementara itu PPV awam di Jasin ialah di Dewan Haji Ahmad Ithnin Merlimau, Dewan Seri Umbai dan PPV Mega Stadium Jasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1195
Kongsi :
Previous post 80 positif COVID-19, kilang di Krubong cetus kluster baharu
Next post Bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai meninggal dunia
Ubah saiz-+=