Sindiket pelaburan matawang kripto ‘AliExchange’ tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Sindiket pelaburan mata wang kripto yang berselindung di sebalik aplikasi dalam talian dikenali sebagai ‘AliExchange’ dan dipercayai menyebabkan pelabur kerugian RM4.7 juta, tumpas selepas polis menahan sembilan individu pada Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata suspek terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita berusia antara 32 hingga 59 tahun ditahan di sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan ibu negara.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu menggunakan platform dagangan mata wang kripto dikenali dengan nama ‘AliCoin’ yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dengan setiap pelabur diberi akses melalui aplikasi AliExchange selepas memuat turun aplikasi tersebut.

“Pelabur atau mangsa juga dapat melihat kadar pulangan dan imbuhan yang dijanjikan melalui aplikasi berkenaan. Bagi meyakinkan mangsa, sindiket ini telah mengupah warga Eropah sebagai speaker bagi mengadakan seminar di hotel di beberapa negeri,” katanya dalam sidang media JSJK di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata mangsa dikehendaki membeli AliCoin dengan harga RM4.70 bagi setiap AliCoin dan keuntungan yang dijanjikan adalah antara lima hingga 15 peratus mengikut jumlah pelaburan.

“Jumlah minimum ditawarkan adalah 10,000 AliCoin bersamaan dengan nilai RM47,000. Mangsa yang terpedaya dengan sindiket itu tidak dapat keuntungan yang dijanjikan.

“Sebanyak 27 laporan polis diterima melibatkan sindiket itu dengan kerugian RM4.7 juta dan sindiket itu dipercayai mula beroperasi sejak Mac hingga Oktober,” katanya.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas 20 keping kad ATM pelbagai bank, 11 telefon bimbit, lima kereta mewah, lima komputer riba, pelbagai dokumen pelaburan AliExchange dan wang tunai RM109,594 dan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM2 juta.

Zainuddin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan testimoni dan janji-janji tawaran keuntungan lumayan dalam masa yang singkat,” katanya.

Orang ramai juga boleh menyebak dan mendapatkan maklumat kesahihan sesuatu pelaburan di laman web ccid.rmp.gov/semakmule.

— BERNAMA

Views:

796
Kongsi :
Previous post Sony tarik balik permainan video ‘Cyberpunk 2077’
Next post Tun Rahah meninggal dunia
Ubah saiz-+=