
PERKUKUH USAHA ANGKAT WARISAN PELBAGAI ETNIK
AYER KEROH 16 Mei – Warisan pelbagai etnik membentuk identiti Negeri Melaka terus diberi perhatian sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh perpaduan dan memahami sejarah akar umbi masyarakat majmuk.
Usaha itu terus diperkasakan menerusi penganjuran Simposium Antarabangsa Warisan Etnik 2025 pada 19 dan 20 Mei ini yang akan menghimpunkan tokoh akademik, sejarawan dan budayawan bagi membincangkan peranan serta sumbangan komuniti-komuniti ini bermula abad ke-15 sehingga sekarang.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah berkata, simposium itu akan menghimpunkan komuniti Chetti, India, Portugis, Belanda dan masyarakat Orang Asli antara bagi menggambarkan kepelbagaian yang menjadi kekuatan budaya negeri bersejarah ini.
“Ia bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga satu langkah pemuliharaan berasaskan ilmu serta jalinan kerjasama rentas budaya.
“Warisan pelbagai etnik di Melaka mencerminkan perjalanan sejarah yang panjang dan kompleks. Kita mahu bukan sahaja meraikannya, tetapi juga mendokumentasikan dan memeliharanya secara berterusan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau yang juga Pengurus Besar Melaka World Heritage Sdn Bhd berkata simposium ini menyediakan ruang perbincangan mengenai pembentukan komuniti semasa Kesultanan Melaka, kesan pemerintahan Portugis dan Belanda serta cabaran dalam mengekalkan identiti budaya dalam era moden.
“Selain memperkukuh warisan budaya, program ini juga diharapkan dapat menyemai semangat keterangkuman dan keharmonian antara kaum di Malaysia melalui kefahaman sejarah yang lebih mendalam.
“Justeru saya mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai simposium ini, sasaran kita 100 peserta terdiri daripada etnik-etnik, jabatan kerajaan dan pemimpin masyarakat serta badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.