
SK KRUBONG 2 SIAP TAHUN INI, LERAI DILEMA KEPADATAN PELAJAR
PAYA RUMPUT 16 Mei – Setelah sekian lama dinantikan, penduduk Krubong dan kawasan sekitar akhirnya boleh menarik nafas lega apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong 2 dijangka siap sepenuhnya tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, khabar gembira itu sekali gus meleraikan dilema kepadatan pelajar di kawasan berkenaan susulan pertambahan perumahan baharu di kawasan itu.
Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri memaklumkan berkata projek pembinaan sekolah tersebut kini berada pada fasa akhir penyediaan perabot.
“Alhamdulillah, saya pernah umumkan sebelum ini bahawa tahun 2025 akan menjadi tahun siapnya SK Krubong 2 dan kini, saya dimaklumkan bahawa projek ini sudah berada di fasa akhir, iaitu kerja-kerja melengkapkan perabot.
“Ini satu berita yang amat menggembirakan bukan sahaja kepada penduduk Krubong, tetapi juga seluruh warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Guru SK Paya Rumput, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rais turut meminta pihak berkaitan seperti Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka Tengah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan Japerun Paya Rumput agar bekerjasama dalam soal penempatan pelajar kelak.
“Kita mesti memastikan sekolah ini benar-benar memberi keutamaan dan manfaat kepada penduduk tempatan terlebih dahulu.
“Ini kerana, sebelum ini saya mendapat banyak aduan bahawa ramai anak-anak dari Kampung Krubong dan taman-taman sekitarnya tidak mendapat tempat di sekolah-sekolah sedia ada seperti SK Krubong dan Sekolah Menengah (SMK) Krubong,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan sekiranya berlaku proses pemecahan pelajar secara tergesa-gesa dari sekolah-sekolah lain, tanpa memberi peluang kepada anak-anak penduduk setempat untuk mengisi tempat terlebih dahulu.
“Saya mohon sangat agar pihak PPD dan JPN Melaka dapat berbincang terlebih dahulu dengan wakil rakyat dan Japerun sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Simpatilah dengan penduduk tempatan. Mungkin boleh ditetapkan kuota khas bagi anak-anak kawasan ini agar tidak terpinggir,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.