
WRUR DUN BEMBAN, FOKUS SELESAIKAN ADUAN RAKYAT DALAM DUA MINGGU
BEMBAN 22 Jun – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) diteruskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban bagi menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri dalam mendekati dan menyelesaikan isu rakyat secara menyeluruh.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pendekatan WRUR hanya dilaksanakan di Melaka, melibatkan semua agensi yang berkampung selama dua minggu.
“Program ini bukan ‘touch and go’, kami selaku exco diberikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan akan membentangkan laporan pencapaian selepas dua minggu.
“Sebagai contoh, jika 30 peratus aduan berjaya diselesaikan, maka bulan seterusnya Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh akan memantau sama ada terdapat peningkatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Program WRUR DUN Bemban dan Penyerahan Taman Rekreasi Kesang Damai di Taman Kesang Damai, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Penyelaras Japerun DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop dan Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.
Menurutnya, program WRUR bukan sahaja memberi peluang kepada agensi dan pemimpin peringkat negeri mengenal pasti isu-isu setempat, malah menjadi platform penting buat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Penduduk boleh menyuarakan terus permasalahan yang kadang kala tidak sampai ke peringkat atasan.
“Kadang-kadang isu itu hanya diketahui di peringkat kampung, jadi dengan adanya Japerun dan Hari Bertemu Rakyat dalam tempoh ini, kita harap segala aduan dapat dikumpul dan diselesaikan dengan pantas.
“Program ini dilihat sebagai inisiatif transformasi penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri, menjadikan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap tindakan serta dasar yang digerakkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.