Sorting by

×

MELAKA MOHON TAMBAH KUOTA MYLESEN B2 TAHUN HADAPAN

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Melaka memohon Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menambah kuota penerima program MyLesen B2 di negeri ini pada tahun hadapan.

Exco Kerja Raya, Infrstruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, permohonan itu susulan hanya 800 peserta sahaja diberikan kuota untuk tahun ini bagi program terbabit.

Katanya, bagaimanapun jumlah kuota yang diberikan pada tahun ini sedikit sebanyak membantu dan memberi manfaat kepada peserta dalam kalangan B40.

“Tahun lalu JPJ memberi kuota penyertaan di Melaka seramai 2,500 orang namun tahun ini ia dikurangkan, jadi kita mohon pertimbangan untuk meningkatkan semula jumlah terbabit.

“Pada tahun ini penerima melibatkan 800 peserta golongan B40 dengan lingkungan usia 16 hingga 35 tahun. Mengikut pecahan seramai 478 peserta dalam daerah Melaka Tengah, 120 peserta daripada daerah Jasin dan 202 dari daerah Alor Gajah.

“Pecahan mengikut jantina pula 415 peserta lelaki dan 385 orang adalah peserta wanita,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan MyLesen B2 Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) , di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrstruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil; Pengarah Bahagian Pelesenan Pemandu JPJ, Mohd Kamal Hisham Abu Bakar dan Pengarah JPJ negeri, Siti Zarina Mohd Yusop serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Hameed berkata program MyLesen itu merupakan komitmen dan usaha kerajaan untuk membantu golongan sasar mempertingkatkan taraf sosioekonomi.

“Menerusi program-program advokasi kita turut mendengar luahan pelajar tiada kenderaan untuk ke sekolah. Pemilihan golongan sasar ini bagi menyertai program MyLesen ini adalah menerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dipilih sendiri oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

549
Kongsi :
Previous post MELAKA RAKAM TERIMA KASIH, KOMITMEN KPKT LAKSANA PROJEK WTE
Next post DUA LELAKI DI PULAU PINANG RUGI RM2.35 JUTA DITIPU SINDIKET PELABURAN