Sorting by

×

MELAKA SAMBUT BAIK CADANGAN PENGGIAT SENI ANGKAT SEMULA RONGGENG RAKYAT SEBAGAI WARISAN BUDAYA

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BANDA HILIR 3 Julai – Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik hasrat dan cadangan penggiat seni tempatan untuk mengangkat semula seni tarian ronggeng rakyat sebagai warisan budaya, selagi ia tidak bertentangan dengan hukum syarak dan nilai-nilai murni masyarakat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka terhadap sebarang inisiatif pemuliharaan budaya, terutama elemen seni tempatan yang berakar dari sejarah negeri ini.

“Cadangan untuk menghidupkan semula tarian ronggeng atau lebih dikenali sebagai joget lambak sangat menarik kerana ia berasal dari Melaka dan merupakan sebahagian warisan rakyat yang kini kian dilupakan.

“Kita melihat nilai seni dan budaya yang terkandung dalam ronggeng sebagai satu aset pelancongan dan warisan yang boleh diperhalusi semula secara berhemah.

“Justeru, Kerajaan Negeri sedia meneliti cadangan ini bersama pihak-pihak berkepentingan dengan syarat ia menepati garis panduan hukum syarak dan adab budaya masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Bicara Seni Budaya 2025 anjuran Institut Tun Perak (ITP) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka di Muzium Rakyat, di sini, semalam.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalannya Datuk Zaidi Attan; Ketua Pegawai Eksekutif ITP, Prof Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah; Pengarah JKKN Negeri Melaka Ezlina Alias serta kenamaan lain.

Ketua Menteri turut menjelaskan bahawa inisiatif itu akan digerakkan oleh JKKN Negeri Melaka dengan kerjasama pelbagai agensi dan penggiat seni agar seni ronggeng dapat diketengahkan semula seperti Dondang Sayang yang telah diiktiraf sebagai warisan budaya diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Seni ronggeng adalah satu bentuk tarian rakyat yang biasanya diiringi lagu-lagu berasaskan pantun, sekali gus mencerminkan keindahan seni tutur Melayu yang halus dan berseni.

“Kerajaan Negeri melihat budaya dan warisan sebagai satu tunjang dalam kerangka pembangunan negeri bukan sekadar elemen sampingan lebih-lebih lagi Melaka merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO,” ujarnya lagi.

Tambah Ab Rauf, Kerajaan Negeri akan terus komited menyokong usaha memperkasa warisan budaya selagi ia diselaraskan secara profesional, beretika dan memperkukuh identiti kebudayaan masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

719
Kongsi :
Previous post MELAKA RIVER CRUISE TUAI PUJIAN, JADI MODEL PRODUK PELANCONGAN BERI IMPAK KEPADA KOMUNITI
Next post SENI RONGGENG ADALAH WARISAN BUDAYA, BUKAN UNSUR NEGATIF