Sorting by

×

LTAM KEMBALI RANCAK, CATAT LEBIH 23,000 PENUMPANG

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 8 Julai – Seramai 23,663 penumpang direkodkan tiba dan berlepas dari Lapangan Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, menerusi syarikat penerbangan Scoot Airlines dalam tempoh kurang 12 bulan.

Mengikut rekod syarikat penerbangan itu memulakan operasi dari LTAM pada Oktober tahun lalu, berdasarkan jumlah ketibaan dan pelepasan penumpang yang direkodkan bagi tempoh itu jelas membuktikan perkhidmatan pengangkutan udara Negeri Melaka kembali rancak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu juga membuktikan sambungan antarabangsa Melaka semakin berkembang dan menandakan permulaan baharu bagi sektor perkhidmatan udara negeri ini.

“Melaka tidak mahu sekadar menjadi penonton dalam revolusi industri penerbangan. Kita mahu menjadi pemain utama dalam rantau ini,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Peluncuran dan Hari Terbuka Program Sarjana Muda Penerbangan ‘Two U One I’ kerjasama antara International Aero Training Academy (IATAC) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di IATAC, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral, Datuk Arman Rumaizi Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif IATAC, Kapten Kenneth Yap.

Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri juga telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Weststar Aviation Sdn Bhd bagi membangunkan Pusat Kecemerlangan Penerbangan Terbesar Asia Tenggara di Melaka menjelang 2028.

“Projek mega itu bakal merangkumi pusat latihan penerbangan helikopter, hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta hab logistik helikopter.

“Ini bukan sekadar projek fizikal, tetapi komitmen untuk mewujudkan ribuan peluang pekerjaan, membina kemahiran tempatan dan menjadikan Melaka sebagai destinasi aeroangkasa serantau,” katanya.

Ab Rauf berhasrat untuk melihat anak-anak Melaka dan Malaysia terus mencipta kejayaan dalam bidang aeroangkasa, bukan sahaja sebagai juruterbang, tetapi kejuruteraan aeroangkasa, pakar avionik, pegawai kawalan trafik udara selain menjadi pelopor teknologi penerbangan.

“Kerajaan Negeri akan terus menyokong inisiatif pendidikan seperti ini termasuk memperluaskan akses kepada anak Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

896
Kongsi :
Previous post PROGRAM IJAZAH PENERBANGAN PERTAMA MALAYSIA DILANCAR DI MELAKA
Next post PERKHIDMATAN KELAS PERTAMA MBMB BUAT WARGA BANDARAYA