
FENOMENA KONDA KONDI KEMBALI GEGAR MELAKA
BANDA HILIR 9 Julai – Usaha mengembalikan semula nostalgia permainan tradisional yang diberikan nafas baharu iaitu konda-kondi semakin diterima masyarakat pelbagai peringkat umur dari dalam dan luar negeri ini.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Nasrul Ahmad berkata, buktinya ia dapat dilihat menerusi Pertandingan Konda Kondi Negeri Melaka 2025 sempena Rentak Bertandak Antarabangsa yang melabuhkan tirainya pada Ahad lalu.
Katanya, tiga kategori dipertandingkan iaitu peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan terbuka dengan penyertaan sebanyak 92 pasukan.
Jelasnya, pertandingan itu juga membuktikan bahawa cetusan idea Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berjaya mengangkat semula kegemilangan sukan rakyat itu ke mata dunia.
“Kategori sekolah rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Tanjung Minyak 2 menerima RM1,500, Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin (RM1,500) manakala kategori terbuka dimenangi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima RM2,500.
“Saya pun agak terkejut bukan pasukan dari Melaka yang menyertai pertandingan ini tetapi dari Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor pun ada.
“Akui pada awalnya agak mencabar untuk merealisasikan hasrat Ketua Menteri ini tetapi selepas ia diselaraskan dengan peraturan baharu, nampaknya berjaya menarik tumpuan ramai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Jelasnya, pihaknya juga akan menambah baik sistem permainan konda kondi ini misalnya daripada segi peraturan dan peralatan dalam memastikan kualiti sukan itu mampu berdiri setanding sukan konvesional.
Tambah Nasrul, ia berikutan terdapat banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi yang mula menunjukkan minat untuk bermain sukan ini di pelbagai acara.
“Kita akan mengadakan satu bengkel khusus serta melantik jawatankuasa teknikal contohnya pengadil profesional. Pengadil ini akan kita beri tauliah untuk mengendalikan permainan dengan baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.