
ENAM KEMATIAN AKIBAT KEMALANGAN TEMPAT KERJA DI MELAKA SETAKAT JUN
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata dalam tempoh itu, sebanyak 286 kes kemalangan tanpa kehilangan upaya kekal direkodkan selain 10 kes melibatkan kecederaan dengan kehilangan upaya kekal.
“Berdasarkan jumlah itu, sektor pembinaan dikenal pasti sebagai sektor paling berisiko tinggi terutama membabitkan insiden jatuh dari tempat tinggi manakala sektor pembuatan menunjukkan kadar tinggi bagi kes kecederaan, kehilangan upaya kekal atau kecacatan kekal.
“Sepanjang tahun lepas, sembilan kematian direkodkan daripada tujuh kes membabitkan kemalangan di tempat kerja,” katanya kepada pemberita di Ayer Keroh hari ini.
Terdahulu, Ngwe merasmikan Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2025 peringkat negeri yang turut dihadiri Pengarah JKKP Melaka Supian Alias.
Beliau berkata JKKP Melaka mengambil langkah proaktif dan melakukan pemantauan berterusan melalui operasi serta pemeriksaan keselamatan di tempat kerja oleh pasukan penguat kuasa.
“JKKP sentiasa memandang serius aspek keselamatan di tempat kerja dan komited memastikan majikan serta pekerja mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Ngwe berkata sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) peringkat negeri tahun ini dimulakan dengan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bersama Sektor Pelancongan.
Seminar yang menjadi pembuka tirai sambutan OSH Week negeri itu signifikan dengan pemilihan Melaka sebagai tuan rumah sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.
“Hal ini bertepatan dengan usaha kita bagi memperkasakan tahap pematuhan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan majikan dan pekerja sektor pelancongan serta melindungi keselamatan dan kesihatan pelancong,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.