
SEDEKAD OMSMC: JALIN MoU BERSAMA JCI MCE DEMI PERKASA KESEDARAN KESIHATAN
KLEBANG 14 Julai – Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pusat Perubatan Oriental Melaka Straits (OMSMC) bersama Junior Chamber International Malacca City Entrepreneur (JCI MCE) bakal memperkasakan lagi tahap kesedaran kesihatan dalam kalangan komuniti.
Pengurus Pemasaran OMSMC, Yeevonne Pang berkata, selain meraikan sambutan ulang tahun ke-10 OMSMC kerjasama yang dijalin itu bertujuan membudayakan amalan kesihatan proaktif, meningkatkan kesedaran menerusi pendidikan, pencegahan dan pemeriksaan awal sebagai asas kepada kesejahteraan komuniti.

“Ini antara sebahagian daripada langkah holistik yang telah kami laksanakan dan sebagai bukti terhadap komitmen OMSMC untuk memperkasa kesejahteraan komuniti, inisiatif ini akan diperluaskan pada masa akan datang.
“Bersempena sambutan ulang tahun ke-10, ahli JCI seluruh negara akan menerima pakej saringan kesihatan pada harga istimewa, ini adalah sebagai tanda penghargaan daripada pihak kami,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Karnival Kesihatan Oh My Health! 2025 disempurnakan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem di pusat perubatan itu, di sini, semalam.
Karnival diadakan sempena sambutan ulang tahun OMSMC merupakan penganjuran tahun kedua bersama JCI MCE telah melibatkan penyertaan 30 reruai menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan percuma buat orang ramai.
Pengendali reruai melibatkan pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai lagi.

Dalam pada itu, Yeevonne berkata, pihaknya yakin OMSMC akan terus melangkah ke hadapan dengan memperkasa perhidmatannya dalam aspek kepakaran kesihatan berasaskan teknologi tinggi pada masa akan datang.
“Dengan kepakaran dan dibantu lebih 600 kakitangan, OMSMC akan terus memastikan perkhidmatan kesihatan dan jaringan bersama komuniti serta belia terus dijalin.
“Sepanjang satu dekad, kami sudah meraih pelbagai pencapaian, kami antara pusat perubatan swasta yang menerima kemasukan pesakit dari pelbagai negara tertinggi di negeri ini.
‘Kami menjadi pilihan rakyat Indonesia, Singapura, Thailand, China, United Kingdom serta pelbagai lagi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.