
WRUR DUYONG PECAH REKOD, LEBIH 10,000 TERIMA MANFAAT SEPANJANG 14 HARI
DUYONG 26 Julai – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong berjaya memecahkan rekod baharu apabila lebih 10,000 masyarakat di kawasan itu menerima manfaat besar daripada program berbentuk santunan rakyat yang diadakan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, WRUR Duyong yang bermula pada 13 hingga 26 Julai itu melibatkan sebanyak 174 program di peringkat akar umbi, iaitu daripada lapisan bayi yang baru meniti kehidupan hinggalah kepada warga emas.
Menurut Ab Rauf, antara program utama yang menjadi tarikan ialah Program Saringan Anak Istimewa secara percuma, di mana ia merupakan program pertama diperkenalkan pada program WRUR dan seterusnya menunjukkan manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu ibu bapa mengenal pasti perkembangan anak-anak.
“Selain itu, lebih 32 program keagamaan turut diadakan dengan kehadiran penceramah-penceramah jemputan terkenal bagi memperkasa rohani dan insani.
“Waimah, Kerajaan Negeri menyambut baik peluncuran aplikasi ‘DUYONGkita’ sebagai inisiatif yang proaktif dalam mendekatkan hubungan antara wakil rakyat dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Dewan Terbuka Semabok Dalam, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, sepanjang 14 hari WRUR berkampung di DUN Duyong, sebanyak 38 aduan berjaya disantuni daripada 79 aduan yang diterima.
Jelas beliau, pencapaian penyelesaian tersebut merangkumi enam subsektor iaitu mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan warga Duyong; merealisasikan keperluan asas kehidupan rakyat dan mengangkat inisiatif golongan peniaga.
Selain itu, WRUR Duyong juga berjaya memperkukuh infrastruktur jalan raya dan saliran; mempergiat usaha penyediaan fasiliti pendidikan, kesihatan dan sukan serta memperhebat Kampung Digital DUN Duyong.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.