Sorting by

×

MASA UNTUK GILAP PEMIMPIN MUDA, WARISI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

REMBIA 9 Ogos – Penganjuran Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) turut melibatkan program untuk membentuk pemimpin muda sebagai pewaris negeri dan negara pada masa akan datang.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, perkara itu adalah sebahagian daripada aspirasi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang berpandangan jauh demi memastikan Melaka menjadi sebuah negeri yang hebat.

Fairul Nizam yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia berkata, sehubungan itu Program Pembangunan Pemimpin Pelapis dipilih sebagai antara pengisian pada penganjuran WRUR.

“Ilham Ketua Menteri diterapkan dalam WRUR dengan Institut Tun Perak (ITP) sebagai agensi pelaksana. Program ini memberikan penekanan terhadap rasa kecintaan kepada negara dan ciri-ciri pemimpin menerusi sesi ceramah dan aktiviti lain yang diatur.

“Sasaran kita adalah belia dan anak muda Melaka, mereka perlu dilatih dan dilengkapkan dengan ciri-ciri ini sebagai persediaan menjadi pemimpin Melaka pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada program itu di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, di sini, pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, mewakili Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mustafa Musa; Ketua Pegawai Eksekutif ITP, Prof Madya Dr. Ainuddin Iskandar Lee Abdullah dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, Sektor Pengurusan Sekolah, Muhammad Hamka Dollah.

Menurutnya, program itu juga selaras dengan sambutan bulan kemerdekaan, sekali gus memantapkan lagi jati diri belia Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

392
Kongsi :
Previous post SARINGAN KANSER PERCUMA HARGAI ANGGOTA SRS MELAKA
Next post HEBAT, WRUR PLATFORM BERKESAN SELESAI ADUAN RAKYAT