Sorting by

×

WRUR REMBIA BANTU BELIA FAHAM DEMOKRASI

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

REMBIA 9 Ogos – Seramai 100 belia dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia mendapat ilmu dan kefahaman mengenai demokrasi dan politik di negara ini.

Ia menerusi penganjuran Program Rakan Muda Rakan Demokrasi: Undi Orang Muda dan Simulasi Pilihan Raya Peringkat Daerah Alor Gajah Tahun 2025 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rembia.

Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program tersebut amat penting dalam meningkatkan kesedaran golongan muda tentang kepentingan mengundi serta peranan mereka dalam menentu hala tuju negara pada masa akan datang.

Katanya, di Melaka, undi anak muda bukan sekadar satu hak tetapi kuasa untuk membentuk masa depan memandangkan daripada keseluruhan yang layak mengundi, 55 peratus daripadanya adalah pengundi muda.

“Oleh sebab itu kita mahu rakyat Melaka, khususnya golongan muda ini menambah ilmu berkaitan Demokrasi Berparlimen kerana merekalah yang akan mencorak dan menentu hala tuju negara.

“Dengan pendedahan ini juga saya berharap ia dapat melahirkan pemimpin masa depan yang dapat berdebat dengan baik berdasarkan fakta dan bukannya menjadi pemimpin yang hanya tahu menjerit dalam persidangan atau cuba mengelirukan rakyat dengan fakta yang salah.

“Nasihat saya, dalam menentukan hala tuju negara, anak muda perlu sentiasa bertabayyun dan melihat segala fakta tentang kejayaan dan ciri-ciri pemimpin yang perlu mereka pilih untuk mentadbir negara pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri turut menasihati golongan muda di negeri ini agar tidak terpedaya dengan fitnah yang semakin berleluasa di platform media sosial masa kini.

Katanya, rantaian fitnah yang cuba dimainkan segelintir individu boleh memberi kesan sekiranya dipercayai bulat-bulat tanpa merujuk kepada fakta sebenar dan pada akhirnya ia boleh memberi kesan kepada negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

441
Kongsi :
Previous post WUJUDKAN RUANG DAYA CIPTA DI PERPUSTAKAAN AWAM MELAKA
Next post SEMANGAT PATRIOTIK WARGA MCORP