
WRUR REMBIA: 500 ANAK BENIH KELAPA PANDAN DIAGIH KEPADA PENGUNJUNG HARI LADANG
REMBIA 11 Ogos – Sebanyak 500 anak benih kelapa pandan dan 80 set hidroponik diagihkan kepada pengunjung Program Hari Ladang ‘Urban Farming’ dan ‘Agriculture Talk’ di Balairaya Taman Seri Kelemak, di sini, semalam
Penganjuran program itu adalah bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia.
Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong berkata program anjuran bersama Jabatan Pertanian Negeri Melaka dan Pejabat Pertanian Daerah Alor Gajah itu memberi pendedahan teknikal kepada penduduk setempat.mengenai pertanian bandar, selain menggalakkan pengeluaran makanan segar berkualiti.
“Sempena WRUR DUN Rembia Jabatan Pertanian mengagihkan sebanyak 500 benih kelapa pandan dan 80 set hidroponik dibekalkan kepada peserta bersama benih sayur-sayuran berdaun untuk diusahakan di halaman rumah.
“Inisiatif ini dilihat mampu menyumbang kepada keterjaminan makanan negeri, gaya hidup sihat dan penggunaan optimum tanah lapang atau terbiar.
“Kita juga mengingatkan penanaman kelapa pandan hanya sesuai di halaman rumah atau kawasan kampung, dan tidak dibenarkan di taman perumahan bagi mengelakkan risiko kerosakan harta awam atau gangguan kepada jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Balai Raya Taman Seri Kelemak selepas menyempurnakan Progra Hari Ladang bersempena Program WRUR DUN Rembia.
Program terbabit turut dihadiri Penyelaras DUN Rembia merangkap Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk F airul Nizam Roslan serta kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.