Sorting by

×

BANTUAN PERTANIAN LEBIH RM105,000 UNTUK DUN REMBIA

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

REMBIA 11 Ogos – Peladang dan petani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia menerima bantuan berjumlah lebih RM105,000 daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi memperkukuh sektor keterjaminan makanan setempat.

Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong berkata, daripada jumlah itu, RM30,575.90 telah disumbangkan Kerajaan Negeri merangkumi program pembangunan tanaman, bantuan input pertanian selain sokongan teknikal.

“Sementara itu RM74,584.40 lagi adalah peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi pelbagai inisiatif dan projek pembangunan pertanian di DUN Rembia.

“Kesemua bantuan yang disalurkan menerusi Jabatan Pertanian Daerah Alor Gajah yang sentiasa proaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Ladang bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rembia di Balairaya Taman Seri Kelemak, di sini, semalam.

Turut hadir, Penyelaras DUN Rembia merangkap Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Melaka, Rozli Azizi Talib.

Chee Leong turut menggalakkan penduduk pinggir bandar memanfaatkan ruang terhad seperti halaman rumah atau bumbung bangunan untuk pertanian moden.

“Menerusi pertanian moden bukan sahaja boleh hasilkan makanan sendiri tetapi dapat menambah sumber makanan segar, berkualiti, menyumbang kepada keterjaminan makanan negeri.

“Selain itu dapat menggalakkan gaya hidup sihat dan lestari serta mengoptimumkan penggunaan ruang terhad,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

437
Kongsi :
Previous post WRUR REMBIA: 500 ANAK BENIH KELAPA PANDAN DIAGIH KEPADA PENGUNJUNG HARI LADANG
Next post CADANGAN AHLI DEWAN BELIA JADI INPUT BAJET 2026 NEGERI MELAKA