Sorting by

×

MELAKA HARI INI TERIMA ANUGERAH SENI NEGERI MELAKA 2025

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 11 Ogos – Melaka Hari Ini (MHI) Sdn Bhd mencipta sebuah lagi episod kejayaan sepanjang lebih 40 tahun penubuhannya apabila menerima Anugerah Pendukung Seni Negeri Melaka (Media) pada Anugerah Seni Negeri Melaka 2025.

Penganugerahan itu diberikan atas kredibiliti MHI yang konsisten memberikan liputan meluas berkenaan Melaka khususnya dalam sudut promosi pelancongan, seni budaya dan warisan negeri ini.

Selain MHI, majlis penuh berprestij itu turut mengiktiraf tujuh individu, agensi kerajaan mahupun korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan penting dalam melestarikan seni dan budaya di bumi bersejarah ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penganugerahan itu adalah manifestasi berterusan kerajaan dalam memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada penggiat seni, karyawan, seniman dan bakat tempatan.

“Semoga kejayaan ini menjadi pencetus semangat bagi menghasilkan lebih banyak kejayaan dan pencapaian yang membanggakan Negeri Melaka khususnya dan negara amnya.

“Pencapaian mereka bukan sahaja akan menjadi inspirasi kepada para karyawan muda tetapi juga akan mendorong kepada perkembangan industri seni ke tahap yang lebih cemerlang dan gemilang,” katanya dalam ucapan Anugerah Seni Negeri Melaka 2025, di sebuah hotel, di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka, Ezlina Alias.

Img 20250811 wa0002
BARISAN penerima Anugerah Seni Negeri Melaka 2025.

Malam Anugerah Seni Negeri Melaka 2025 anjuran JKKN Negeri Melaka mengiktiraf lapan penggiat seni yang banyak menabur bakti dan memberi komitmen dalam pemerkasaan industri seni dan budaya.

Anugerah utama iaitu Tokoh Seni Negeri Melaka 2025 dianugerahkan kepada seniman dan penggiat Dondang Sayang, Idriss Sariff.

Sementara itu, Anugerah Pendukung Seni Negeri Melaka 2025 pula mengiktiraf Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka dalam kategori agensi kerajaan dan korporat; Pertubuhan Seni Kesidang Sari (PERSIDANG) bagi kategori NGO; Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia bagi kategori pelbagai kaum manakala Melaka Hari Ini Sdn Bhd bagi kategori media.

Pada masa sama, Pengarah Teater terkenal, Lokman Abd Ghani menerima Anugerah Karyawan Seni Negeri Melaka 2025; diikuti Anugerah Karyawan Seni Harapan Negeri Melaka 2025 kepada Norliza Md Yamin dan Anugerah Penggerak Seni Pelbagai Kaum Negeri Melaka 2025, Datuk Ronald Gan Yong Hoe.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post JAWATANKUASA KHAS URUS TANAH TERBIAR
Next post WRUR REMBIA: 500 ANAK BENIH KELAPA PANDAN DIAGIH KEPADA PENGUNJUNG HARI LADANG