
MAIM LAHIRKAN SUKARELAWAN BANTU ASNAF
AYER KEROH 11 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus komited melahirkan lebih ramai sukarelawan dalam membantu golongan-golongan asnaf di negeri ini.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, di bawah MAIM terdapat tiga badan sukarelawan yang telah diwujudkan iaitu Skuad Agihan Zakat (SAZ), Badan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) dan Skuad Sukarelawan Balai Islam (SSBI).
Jelas beliau, setiap badan tersebut mempunyai fungsi yang tersendiri, misalnya SAZ berperanan menyampaikan sumbangan kepada asnaf dan fakir miskin, manakala SSBI pula digerakkan bagi menyantuni golongan mualaf di negeri ini.
Tambah beliau, antara sukarelawan terbesar di bawah MAIM ialah BSAT, di mana ia diletakkan di bawah Bahagian Pembangunan Insan bagi membantu asnaf keluar dari kepompong kemiskinan menerusi pelbagai bantuan antaranya dalam sudut pendidikan dan keusahawanan.
“Selain itu, BSAT juga turut membantu dalam kerja-kerja kemasyarakatan seperti gotong-royong membersihkan rumah asnaf dan masjid atau surau, mengadakan ziarah ke rumah asnaf atau pesakit di hospital, penganjuran program pasar percuma dan lain-lain lagi.
“Setakat ini, terdapat 150 sukarelawan BSAT yang aktif di bawah MAIM dan sentiasa membantu dalam program-program kesukarelawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran di Podcast Mana Lagi, Melaka Ler di Studio Melaka TV, di sini.
Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata, pada 17 Ogos ini, akan diadakan Majlis Watikah Pelantikan Sukarelawan BSAT MAIM yang akan disampaikan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Rahmad Mariman di Japerun Ayer Molek.
Beliau bagaimanapun menyeru lebih ramai tampil untuk bersama menyertai BSAT, khususnya golongan muda agar dapat bersama-sama MAIM dalam membantu golongan asnaf dan fakir di negeri ini.
“Jika ada yang berminat boleh datang ke Bahagian Pembangunan Insan MAIM untuk mendaftar dan setiap sukarelawan turut menerima elaun berdasarkan kehadiran,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.