
MELAKA PERLUAS KEMPEN INTERNET SELAMAT DI SEKOLAH
REMBIA 11 Ogos – Kempen Internet Selamat (KIS) kini giat dilaksanakan di seluruh Melaka dengan penyertaan 66 buah sekolah dan melibatkan seramai 2,200 peserta setakat ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, usaha digerakkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu selaras arahan Kementerian Komunikasi bagi memastikan semua sekolah melaksanakan kempen tersebut sehingga hujung tahun ini.
“KIS bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai keselamatan siber, terutamanya isu buli siber, penipuan dalam talian (scammer) dan kandungan tidak sihat.
“Kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka amat baik kerana mereka memahami keperluan untuk menerapkan kesedaran ini sejak di bangku sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan KIS Daerah Alor Gajah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Alor Gajah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah MCMC Melaka, Syed Isa Al-Sagoff.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Penyelaras DUN Rembia berkata, bagi memperkukuh inisiatif itu setiap sekolah perlu melantik seorang guru dan seorang murid sebagai K-DAT, iaitu ikon keselamatan siber dan internet.
“Mereka ini akan menjadi rujukan warga sekolah untuk sebarang aduan atau pertanyaan berkaitan isu keselamatan dalam talian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.