
BUKTIKAN SUARA BELIA MELAKA MATANG, BERNAS DAN BERFAKTA
AYER KEROH 11 Ogos – Pelantikan sebagai Speaker Dewan Belia Negeri Melaka disifatkan bukan sekadar penghormatan namun amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.
Speaker Dewan Belia Negeri Melaka, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, persidangan julung kali itu bukan sekadar sebuah ruang perbahasan, bahkan menjadi medan mendengar suara belia.
Beliau bagaimanapun beriltizam memastikan persidangan itu menjadi platform yang matang, inklusif dan berwibawa dalam menyuarakan isu serta aspirasi anak muda di negeri ini.
“Inilah medan untuk membuktikan bahawa suara belia bukan sahaja lantang, tetapi juga bernas, berfakta dan penuh tanggungjawab.
“Saya percaya bahawa Dewan Belia ini bukan sahaja berperanan sebagai ruang perbahasan, malah sebagai jambatan penting antara suara belia dengan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Negeri Melaka Tahun 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Anjung Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Khaidhirah turut berharap agar semua pihak berganding bahu menjadikan Persidangan Dewan Belia Negeri Melaka sebagai simbol kekuatan dan kebijaksanaan anak muda yang matang dalam bicara, bernas dalam hujah dan tinggi nilai integritinya.
“Saya harap semua Ahli Dewan Belia memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk berbahas, mengutarakan pandangan, memberi cadangan secara konstruktif serta memberikan penyelesaian membina demi masa depan negeri,” katanya.
Untuk rekod, pada persidangan tersebut, seramai 34 Ahli Dewan Undangan Belia termasuk enam lantikan Ketua Menteri telah dilantik dan mengangkat sumpah jawatan hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.