Sorting by

×

PBT MELAKA ‘ALL OUT’ SAMBUT WTD 2025

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 Ogos – Kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka kini berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum bagi menyambut Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada September depan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, persiapan tersebut dilaksanakan secara rapi meliputi aspek kebersihan, keceriaan dan keindahan kawasan tumpuan pelancong.

Katanya, kesemua PBT terbabit adalah Majlis Bandaraya Bersejarah (MBMB); Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ); Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

“Kerjasama semua PBT menjadikan Melaka unik, bukan sahaja dari segi memastikan persekitaran yang bersih dan teratur, malah penglibatan dalam merancakkan sektor pelancongan.

“Contohnya, MBMB bukan sahaja menitikberatkan kebersihan ketika acara seperti Ambang Merdeka, malah aktif membantu dengan melibatkan Jabatan Kesenian yang berada di bawah Jabatan Ketua Menteri.

“Kita mahu menteri pelancongan seluruh dunia bersama delegasi mereka yang berkunjung ke sini berasa seronok dan teruja melihat kebersihan serta keceriaan Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Media dan Komuniti MBMB 2025 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rais berkata, usaha itu tidak terhenti pada satu acara sahaja, malah ia akan berterusan sehingga akhir tahun yang dijangka meriah dengan pelbagai program.

“Usaha dalam memastikan Melaka kekal ceria, bersih, indah dan menarik ini bukan sahaja untuk WTD 2025 sahaja.

“Kesemua PBT di Melaka ini akan terus memberikan yang terbaik kerana kita akan mempunyai pelbagai program lain lagi selepas bulan September,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

651
Kongsi :
Previous post GELANGGANG FUTSAL TAMAN KELEMAK JAYA SIAP TAHUN INI
Next post LEBIH 20,000 KANAK-KANAK DI MELAKA TERIMA VAKSIN MEASLES-RUBELLA