Sorting by

×

PENDAKWAH PUJI INISIATIF WRUR MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

REMBIA 14 Ogos – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bukan sahaja semakin mendapat sokongan rakyat Melaka, bahkan ia juga mendapat pujian pelbagai pihak termasuk pendakwah agama.

Penceramah terkenal, Ustaz Amran Md Yusof atau mesra lebih dikenali sebagai Ustaz Amran Bollywood berkata, inisiatif yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu terbukti membawa banyak kebaikan kepada masyarakat memandangkan fokus utamanya adalah menyantuni dan mengambil berat masalah rakyat di segenap pelusuk kawasan.

Menurut beliau, selepas mengikuti beberapa siri WRUR, beliau dapat melihat sendiri bagaimana setiap wakil rakyat itu menyantuni penduduk di peringkat akar umbi tanpa protokol sehinggakan setiap bantuan atau sumbangan yang disampaikan dapat dirasai.

“Tidak hanya itu, WRUR bukan sahaja mementingkan kebajikan dan masalah rakyat, tetapi juga turut membawakan banyak majlis ilmu dan pemahaman agama kepada masyarakat, khususnya umat Islam.

“Bagi saya, inisiatif ini (WRUR) bukan sahaja perlu diteruskan, malah jika ada peruntukan lebih besar ia perlu diperluaskan lagi kerana ia sudah menjadi satu program yang amat penting kepada rakyat.

“Saya selalu berpegang kepada kalimah para ulamak, iaitu kalaulah kita ada doa yang mustajab diberi pilihan, maka doa yang terbaik adalah memohon supaya kita mendapat pemimpin yang sebegini, iaitu sentiasa memberi kebajikan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyampaikan ceramah pada Program Bicara Malam: “Jangan Bakar Sesama Kita” di Balai Bomba Alor Gajah, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan.

Dalam pada itu, Ustaz Amran juga menyifatkan WRUR yang dimulakan di Melaka wajar menjadi contoh kepada negeri-negeri lain berdasarkan impaknya kepada rakyat dan komuniti setempat.

“Saya sendiri selepas balik ke Selangor ada bertemu dengan sahabat-sahabat saya termasuk dalam kalangan pemimpin setempat dan wakil rakyat bercerita tentang kebaikan WRUR di Melaka ini dan saya katakan kepada mereka bahawa, program ini menampakkan pertemuan di antara YB (Yang Berhormat) dengan masyarakat seolah-olah pertemuan adik-beradik, tiada protokol.

“Jadi, mereka juga tertarik dan sekiranya lebih ramai pemimpin dapat ikut, saya percaya impak yang sama juga akan sampai ke seluruh Malaysia.

“Pada masa sama, saya harap rakyat juga dapat mengambil peluang dan memanfaatkan program seperti ini kerana inilah masa untuk mereka adukan masalah dan serap segala ilmu yang disediakan pemimpin,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai ceramah bertajuk ‘Jangan Bakar Sesama Kita’ yang disampaikan, Ustaz Amran memaklumkan ia membawa mesej bahawa setiap masyarakat harus ada ilmu agama dalam membawa politik dalam kehidupan.

Jelas beliau, politik atau parti perlu dijaga dengan agama supaya masyarakat dapat memahami sesuatu perkara sebelum ada buruk sangka, suka memfitnah, komen tanpa tabayyun, cepat menghukum orang lain hingga mendakwa seseorang itu sesat dan sebagainya sedangkan itu adalah salah dan dilarang.

“Sebab itu saya menasihati semua agar baliklah kepada agama, cari titik persamaan dan bukannya sesuatu yang boleh memecahbelahkan masyarakat,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1648
Kongsi :
Previous post LEBIH 13,000 PELAJAR TERIMA MANFAAT PROGRAM ‘YES! ROCK THE SCHOOL’