Sorting by

×

SEMUA PREMIS DI MELAKA PERLU KIBAR JALUR GEMILANG

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 19 Ogos – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diarah memastikan premis swasta termasuk yang berlesen di bawah pentadbiran masing-masing mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perumahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, langkah itu penting sebagai simbol rasa cinta serta semangat patriotik rakyat terhadap tanah air sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

“Datuk Bandar MBMB telah mengarahkan semua jabatan terlibat supaya menghantar pemberitahuan kepada premis-premis berlesen agar mengibarkan Jalur Gemilang.

“Perkara sama juga akan saya pastikan dilaksanakan di PBT lain di seluruh negeri. Walaupun kita tidak sampai ke tahap penguatkuasaan, namun perkara ini mestilah dipupuk.

“PBT boleh memaklumkan kepada rakyat agar melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai warga Malaysia yang cintakan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) anjuran Jabatan Perancangan Bandar MBMB di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perumahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff.

Menurut Rais, sambutan bulan kemerdekaan kali ini mendapat respon positif apabila orang ramai mula memasang Jalur Gemilang terutama di kawasan pelancongan seperti Bandar Hilir dan beberapa lokasi lain.

“Insya-Allah saya yakin kesedaran untuk menyambut bulan kemerdekaan dan Hari Kebangsaan ke-68 ini sangat tinggi dalam kalangan penduduk di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

645
Kongsi :
Previous post PPSPM PERKASA SISTEM KUALITI, TADBIR URUS LEBIH MANTAP
Next post BULI : TIADA KOMPROMI, AMBIL TINDAKAN JIKA TERLIBAT