Sorting by

×

WORLD TOURISM DAY: ULANGAN INTERAKSI PERADABAN DUNIA DI MELAKA

Masa Membaca:4 Minit, 15 Saat

Oleh:
Raja Muhammad Khairul Akhtar Bin Raja Mohd Naguib
Calon Doktor Falsafah di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), International Islamic University Malaysia (IIUM), dan Pembantu Penyelidik di Peace, Dialogue and Xenophobia Studies (PEDIXS), IIUM

Azlin Nurain Binti Adnan
Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian World Tourism Melaka, Jabatan Ketua Menteri Melaka dan, Calon Doktor Falsafah di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), International Islamic University Malaysia (IIUM)

MELAKA bukan sekadar sebuah negeri tetapi ia adalah manifestasi helaian makalah yang tersimpan selama berabad-abad, atau sebuah manuskrip yang ditulis, malah ditulis semula oleh empayar dan para pedagang. Benteng-benteng Portugis masih berdiri seperti pengawal zaman dahulu. Kepingan-kepingan jubin Belanda bersandar di jalan-jalan sempit seolah-olah sedang mendendangkan keagungan kota dan rahsianya dari dahulu hingga kini. Sungai itu, yang pernah menjadi nadi perdagangan rempah ratus, masih memberi serakan cahaya matahari yang sama yang pernah menuntun kapal-kapal Cina dan dhow Arab ke pantainya.

Tetapi, di sebalik kerikil lapuk dan peninggalan muzium terdapat kejayaan terbesar Melaka; latar rahsia tradisinya iaitu kepelbagaian budaya dan agama mewujudkan perpaduan nyata, seterusnya membentuk komuniti harmoni sehingga ke hari ini. Perkara ini adalah bukti nyata bahawa kepelbagaian etnik, kepercayaan, dan warna kulit boleh menjalani kehidupan bersama dengan penuh adab, dan keharmonian yang indah. Melusuri Jalan Tukang Emas, ada ketikanya, seruan azan masjid bersilih ganti dengan bunyi loceng kuil dan haruman kayu cendana. Di sini, Islam, Hindu, Buddha, dan kristian berdiri bahu-membahu, bukan sebagai saingan dalam menyatakan tuhan siapa benar, tetapi sebagai kejiranan yang memahami dan bertolak ansur untuk mencari damai. Kehidupan secara harmoni ini bukan secara kebetulan; ia telah dijelmakan sejak berabad-abad lamanya.

Pada tahun 2008, sejarah Melaka diiktiraf di peringkat global, Bandar Melaka ini telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bersama George Town, Pulau Pinang sebagai gabungan seni bina Asia dan Eropah yang dipelihara dengan baik. Kubu A Famosa yang terkenal, dibina pada 1511, kekal sebagai salah satu peninggalan seni bina Eropah tertua yang masih ada di Asia Tenggara. Gereja Christ yang ikonik, dicat dengan warna merah yang tersendiri, telah berdiri sejak 1753 sebagai simbol tinggalan warisan penjajah Belanda, dan bukti interaksi peradaban yang wujud di Melaka. Sementara itu, Stadthuys, atau sering dipanggil bangunan Belanda tertua di Timur, masih menghiasi dataran bandar. Sejarah telah membentuk Melaka, interaksi peradaban dan ketamadunan dunia diasimilasikan di tanah bertuah ini. Ketibaan armada Laksamana Cheng Ho membawa peneroka Cina; Pedagang Gujarati membawa kepercayaan dan kain mereka; Portugis membawa Katolik dan kubu; Belanda membawa disiplin Calvinis; British pula membawa pentadbiran kolonial. Namun, bandar itu menyerap setiap pengaruh ke dalam DNA budayanya. Dari Muzium Warisan Baba Nyonya ke Tokong Cheng Hoon Teng, kuil Cina yang paling tua, yang masih berfungsi di Malaysia, di setiap sudut bangunan-bangunan ini masih menceritakan kisah adaptasi mereka.

Keharmonian ini bukan sekadar perhiasan budaya untuk tatapan umum, ia adalah benteng yang melindungi. Dalam bahasa pembinaan keamanan moden, toleransi dalam kepercayaan dan penerimaan silang budaya adalah sistem mekanisme perlindungan utama dan paling kuat dalam menghindari sebarang bibit-bibit ekstremisme ganas. Di Melaka, ruang untuk saling menghormati tumbuh sihat dan melata, hingga mengecilkan peluang cambahan tunas kebencian yang pernah berakar umbi. Keharmonian Melaka bukan sekadar latihan dalam toleransi, tetapi asas keharmonian itu sendiri adalah toleransi. Apa yang berkembang di sini ialah pemahaman, dan yang lebih penting, penerimaan. Tradisi rumah terbuka, di mana jiran pelbagai agama berkongsi hidangan perayaan; ia adalah penegasan semula kontrak sosial yang ditulis walaupun bukan di atas kertas, tetapi di dipahat didalam hati, dijelmakan dengan perbuatan, dan diingati sampai mati.

Jika Colosseum di Rome, Italy berdiri sebagai saksi kepada kehebatan dan keteguhan seni bina Rom purba, dan Stonehenge di Wiltshire, England menyimpan rahsia purba yang masih diperdebatkan ahli sejarah, maka Melaka adalah jambatan antara kedua-dua simbol dunia, iaitu sebuah warisan yang bukan hanya berdiri, tetapi terus hidup, bernafas, dan memelihara makna persaudaraan manusia. Pelancong anatarabangsa tidak akan hanya menemukan tinggalan bangunan bersejarah sahaja, mereka menyaksikan santun budi, silang budaya dan persefahaman antara masyarakat, mereka akan masih terngiang hilai-tawa yang mudah berbalas antara orang yang berlainan bahasa. Mereka pasti akan rindu berjalan-jalan di Pasar Malam Jalan Jonker, merasai sate celup dan cendol, dan pasti akan merasakan bahawa di sini, ketenangan bukanlah pasif; ia ditanam, dilindungi, dan dihayati setiap hari.

Percayalah, pada zaman di mana pergolakan, ketegangan dan pemusuhan masih berlaku, ucapan kebencian, bertikam lidah di media sosial melalui pahlawan papan kekunci masih membarah, berbalah tentang warna kulit mana yang paling tinggi kasta? Bangsa apa yang paling mulia? Agama mana yang akan ke syurga? tetapi kepimpinan kerajaan Melaka melalui kemampuan menjadi negeri penganjur World Tourism Day 2025 menawarkan naratif balas; bahawa kepelbagaian, apabila diadaptasi dengan saling hormat dan tolak ansur, mampu mengangkat keunikan Melaka dan menjadi nilai tambah kepada pelancongan. Dalam dunia di mana penyakit diskriminasi dan xenofobia sering menjadi permulaan kepada konflik, tetapi keharmonian Melaka bukanlah sesuatu mitos dan jampi yang diada-adakan, tetapi ia adalah vaksin dan penawar yang terbukti menjadi contoh kepada masyarakat luar. Oleh itu, bandar ini berdiri – bukan hanya sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO, tetapi juga sebagai tapak warisan moral yang aman dan damai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

433
Kongsi :
Previous post KOLAM PINTAR: IKAN DITERNAK BERKUALITI, TIADA RASA TANAH
Next post PUSAT SEHENTI USAHAWAN MELAKA DI UTC BEROPERASI SEPTEMBER