Sorting by

×

RUNGKAI CABARAN ANAK MUDA BINA KELUARGA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

DURIAN TUNGGAL 28 Ogos – Program Seminar Kependudukan Negeri Melaka 2025 yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjadi platform penting membincangkan isu demografi dan cabaran institusi kekeluargaan.

Bertemakan ‘Memperkasa Golongan Muda Untuk Membentuk Keluarga Yang Mereka Inginkan Dalam Dunia Yang Adil dan Penuh Harapan’, seminar tersebut menekankan peranan semua pihak dalam memastikan kesejahteraan keluarga dan komuniti.

Naib Canselor UTeM Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, seminar tersebut turut mengupas isu tren penurunan kadar kelahiran dan kesan terhadap fenomena ‘negeri menua’ menjelang tahun 2040.

“Gaji yang tidak seimbang dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan membebankan perancangan kewangan isi rumah. Faktor ini akhirnya menjejaskan keupayaan anak muda untuk membina keluarga yang stabil dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pogram Seminar Kependudukan Peringkat Negeri Melaka 2025 yang dirasmikan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka, Susma Khairitszi Mamat serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Massila berkata, UTeM turut menyumbang melalui pelbagai inisiatif seperti JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) bagi melatih komuniti dalam membangun nilai tambah serta kemahiran yang diperlukan dalam industri.

“Seminar ini merupakan inisiatif strategik untuk memupuk dan mengupas isu kependudukan, cabaran institusi keluarga serta kesejahteraan komuniti untuk terus seimbang dan mampan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

410
Kongsi :
Previous post IMBAU NOSTALGIA ZAMAN KANAK-KANAK DI MENARA TAMING SARI
Next post EMPAT MISI BESAR MELAKA DI JEPUN