Sorting by

×

‘TEKSI AIR’ ALTERNATIF KURANGKAN KESESAKAN, MUDAHKAN AKSES PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Ogos – Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri yang ingin memperluaskan kemudahan teksi air bagi membantu mengurangkan isu kesesakan di kawasan tumpuan pelancong.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, sebagai tulang belakang pengangkutan air di Melaka pihaknya sentiasa bersedia dalam menyediakan perkhidmatan terbaik demi keselesaan pengunjung.

“Teksi air atau ‘water taxi’ ini sudah lama dilaksanakan dan jeti utamanya adalah di Melaka Sentral serta Pengkalan Rama, malah kita kini sedang mencari tapak baharu, di mana Taman Lagenda adalah lokasi dicadangkan.

“Kami di PPSPM amat menyokong hasrat Kerajaan Negeri menerusi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang ingin memperluaskan penggunaan teksi air sebagai usaha penyuraian trafik, memandangkan ia dapat memberi akses yang lebih mudah kepada pengunjung dan pelancong untuk ke kawasan tarikan pelancong di negeri ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Ayer Keroh Country Club (AKCC) yang diwakili, Pengerusi AKCC Datuk Rahmad Mariman, di Dataran Pengkalan Rama, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar AKCC Syed Mahadzir Syed Yassin dan Ahli Lembaga Pengarah PPSPM, Mohd Fasarul Md Isa.

Menurut Shaharul Azuar, penggunaan teksi air itu merupakan antara alternatif dan pengangkutan perantara yang boleh digunakan oleh pengunjung dan pelancong, khususnya untuk memasuki Banda Hilir.

“Di peringkat PPSPM kita akan menambah baik kemudahan ini ia bagi memastikan pengunjung yang menggunakan perkhidmatan teksi air ini selesa, selain kadar tambang dikenakan juga adalah minima.

“Penggunaan teksi air ini secara meluas secara tidak langsung dapat membantu dalam penyuraian trafik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

577
Kongsi :
Previous post LEBIH 7,000 BAKAL MERIAHKAN PERARAKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1447H
Next post IMBAU NOSTALGIA ZAMAN KANAK-KANAK DI MENARA TAMING SARI