
IMBAU NOSTALGIA ZAMAN KANAK-KANAK DI MENARA TAMING SARI
BANDA HILIR 28 Ogos – Penganjuran program sampingan bertemakan permainan tradisional sempena sambutan Bulan Kebangsaan di perkarangan Menara Taming Sari baru-baru ini mendapat sambutan hangat daripada pengunjung tempatan dan luar negeri.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati ramai tidak melepaskan peluang menyertai permainan congkak dan dam aji yang disediakan, sekali gus mengembalikan nostalgia zaman silam.
Lebih menarik, penyertaan daripada pelbagai kaum menjadikan acara santai itu sebagai wadah perpaduan, walaupun datang daripada latar belakang berbeza.
Peserta dam aji, Roslan Mohamad, 45, berkata aktiviti terbabit mampu memberi pendedahan kepada generasi muda tentang warisan permainan tradisi yang semakin dilupakan.
“Pertandingan secara santai ini memberi nilai tambah kepada pengunjung apabila dapat mengenali permainan lama sambil berkunjung ke kawasan pelancongan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nada sama turut dikongsi peserta congkak, Maizatol Fairah Mustapa, 46, dari Ampang yang mengakui teruja berpeluang bermain semula permainan tradisi itu selepas lebih 20 tahun.
“Selepas turun dari Menara Taming Sari, dapat pula sertai permainan congkak ini, memang mengimbau zaman kanak-kanak dulu,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Hakim Abu Ramlan, 20, dari Perak menyifatkan penganjuran tersebut sebagai usaha tepat memelihara warisan budaya.
“Pada saya, permainan tradisional ini wajar dianjurkan lebih kerap, bukan sahaja pada Bulan Kebangsaan kerana ia juga menggalakkan interaksi sosial dalam kalangan pengunjung,” katanya.
Terdahulu, Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) menganjurkan program poket Permainan Tradisional Congkak dan Dam Aji di perkarangan Menara Taming Sari sempena Bulan Kebangsaan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MTSB, Nur Azan Hassan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.