
LEBIH 7,000 BAKAL MERIAHKAN PERARAKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1447H
BANDARAYA MELAKA 28 Ogos – Sambutan Maulidur Rasul 2025M/1447H Peringkat Negeri Melaka pada 5 September ini dijangka meriah dengan penyertaan lebih 7,000 peserta melibatkan 113 kontinjen mewakili pelbagai agensi dan institusi.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, sambutan Maulidur Rasul akan berlangsung selama empat hari dari 4 hingga 7 September.
Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Katanya, selain perarakan turut disusun adalah Karnival Semarak Cinta Rasul dan pelbagai lagi pengisian yang menarik.
“Meskipun hanya berselang beberapa hari sahaja selepas Hari Kebangsaan saya yakin sambutan Maulidur Rasul 1447H tetap meriah dengan jumlah penyertaan yang ramai,” katanya pada sidang media selepas Program Apa Khabau YB sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H Peringkat Negeri Melaka 2025M di Melakafm, di sini, hari Ini.
Menurutnya, acara kemuncak ialah Program Melaka Berselawat pada 12 September (Jumaat) yang turut diserikan dengan majlis penganugerahan kepada agensi dan institusi yang banyak menyumbang kepada pembangunan umat Islam.
“Antara anugerah yang disampaikan ialah pengurusan dan pentadbiran masjid terbaik, surau terbaik serta tanah perkuburan terbaik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.