Sorting by

×

WORLD EXPO 2025 OSAKA: MELAKA SASAR PENCAPAIAN RM3 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SERI NEGERI 28 Ogos – Melaka menyasarkan pencapaian sebanyak RM3 juta bagi nilai potensi jualan dan kerjasama perniagaan sepanjang tujuh hari penyertaan di World Expo 2025 Osaka, Jepun.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sasaran itu dilihat realistik berdasarkan potensi pasaran Jepun yang mementingkan kualiti, inovasi dan nilai tambah, selari dengan kekuatan produk yang dibawa oleh usahawan Melaka.

Jelas beliau, sepanjang Minggu Melaka yang diadakan di Pavilion Malaysia pada 31 Ogos hingga 6 September 2025, Kerajaan Negeri membawa lapan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi tinggi dan berdaya saing untuk mempromosi Melaka ke persada dunia.

“Antara syarikat yang dibawa pada ekspo kali ini adalah Southeast Asia Fruits Industry membawa produk durian sejuk beku; Koon Huat Agriculture memperkenal produk aiskrim buah tanpa pengawet; Atlantys Aqualife, produk ternakan udang serta OP-G Innovative Industry memperkenal minuman berkarbonat;

“Selain itu, Tropical Bioessence yang membawa produk berasaskan herba dan perkhidmatan OEM; Lipta Plastic Industries produk perkhidmatan elektrik,
elektronik serta automotif; Ligetech Automation memfokus produk lampu LED dan Solar dan Kurodai International pula memperkenalkan produk memancing umpan tiruan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pra-Pelancaran bagi Penyertaan Melaka ke World Expo 2025 di Osaka, Jepun di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, antara pengisian utama sepanjang Minggu Melaka pada ekspo berkenaan adalah pelancaran ‘Expo Osaka 2025 – Melaka Week’ pada 2 September di Pavilion Malaysia dan majlis menandatangani lima memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak swasta.

Selain itu, jelas beliau, turut diadakan pameran oleh agensi dan usahawan Melaka, di samping seminar, ‘business talk’ dan sesi padanan perniagaan; persembahan kebudayaan serta lawatan diplomatik ke pavilion negara-negara lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

591
Kongsi :
Previous post EMPAT MISI BESAR MELAKA DI JEPUN
Next post PROMOSI MELAKA SEBAGAI HAB PERDAGANGAN HALAL DI NEGARA MATAHARI TERBIT