Sorting by

×

BEKAS AHLI GISBH BAKAL JALANI PROGRAM PEMULIHAN SEMBILAN BULAN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 28 Ogos – Lebih 300 bekas ahli Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH) bakal menjalani program pemulihan akidah selama sembilan bulan bermula September ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sepanjang tempoh itu juga kesemua mereka yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia akan menjalani program rehabilitasi secara mingguan.

“Menerusi data lengkap diperoleh kita akan mengadakan program rehabilitasi dan pemulihan akidah untuk kesemua mereka ini. Program selama sembilan bulan ini dijadualkan seminggu sekali, diadakan di Kompleks Al-Azim, sekolah rendah agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) atau lokasi bersesuaian yang lain.

“Untuk pengetahuan, kesemua mereka amat memberikan kerjasama selain benar-benar mahukan program ini diadakan,” katanya.

Terdahulu, Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) hadir ke Majlis Makan Malam bersama bekas ahli GISBH Melaka berlangsung di sebuah hotel, di sini, semalam.

Menurut Rahmad, pihaknya difahamkan di Melaka terdapat lebih 300 bekas ahli GISBH dan Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk membantu kesemua mereka kembali menjalani kehidupan normal.

“Dimaklumkan antara kesulitan lain dialami adalah hilang mata pencarian selepas premis tempat mereka bekerja sebelum ini terpaksa dihentikan operasi. Disebabkan itu kita bukan sahaja membimbing mereka daripada aspek akidah tertapi membantu mencari jalan keluar bagi masalah dihadapi.

“Sekiranya layak mereka boleh memohon bantuan daripada MAIM atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),  malah mereka juga boleh memohon mendapatkan bantuan persekolahan,” katanya.

Jelasnya, setakat ini dimaklumkan tiada anak-anak bekas ahli GISBH di Melaka ini yang tercicir daripada mendapat pelajaran, selain itu mereka yang berkahwin turut melakukan pendaftaran secara sah termasuk yang berpoligami.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2675
Kongsi :
Previous post PROMOSI MELAKA SEBAGAI HAB PERDAGANGAN HALAL DI NEGARA MATAHARI TERBIT