Sorting by

×

PRODUK USAHAWAN MELAKA BERSINAR DI OSAKA, SEDIA TEMBUSI PASARAN GLOBAL

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

OSAKA, JEPUN 6 September – Penyertaan Melaka di World Expo 2025 Osaka menjadi medan untuk produk usahawan Melaka bersinar dan menembusi pasaran global.

Menerusi ekspo tersebut, seramai lapan usahawan Melaka yang terlibat bukan sahaja dapat memperkenalkan produk mereka, bahkan pada masa sama berpeluang untuk memasuki pasaran dunia, khususnya di Jepun.

Seorang usahawan terlibat, Mohd Khairil Said berkata, penyertaannya pada ekspo tersebut adalah untuk memperkenalkan produk inovasi baharu iaitu semburan yang boleh menghilangkan bau busuk hanya dalam masa satu saat sahaja.

Dia yang juga Pengarah Urusan Syarikat Tropical Bioessence Sdn Bhd yang berpangkalan di Masjid Tanah berkata, produk itu dihasilkan dengan ekstrak tumbuhan dan kulit buah-buahan, di mana ia diperkenalkan di Jepun selepas mengambil kira budaya masyarakat Jepun yang terkenal dengan kebersihan dan tidak menyukai bau busuk.

“Alhamdulillah, kita mendapat respon yang sangat baik daripada pengunjung, malah mereka juga terkejut kerana ada produk inovasi dari Malaysia seperti ini.

“Kita di sini bukan sahaja mahu memperkenalkan produk, tetapi pada masa sama mencari pengedar untuk produk ini di Jepun dan alhamdulillah menerusi ekspo ini kita nampak ada potensi dan permintaan, insya-Allah dalam tahun ini kita akan mulakan penghantaran produk ke Jepun.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang membawa kami ke sini dan telah menganjurkan sesi padanan perniagaan dan ‘pocket talk’ untuk mengembangkan pasaran produk kami ke luar negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Salt Cola Gerald Chua turut mengakui potensi besar ekspo berkenaan dalam memperkenalkan produk minuman unik dari Melaka untuk menembusi pasaran Jepun.

Dia turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan SME Corp, selain MARTRADE kerana banyak membantu usahawan kecil dan sederhana dari Melaka untuk terus berkembang ke satu tahap lebih tinggi.

“Kita berasa gembira kerana produk minuman berasaskan soda dan garam himalaya yang bukan sahaja sedap tetapi juga baik untuk kesihatan ini mendapat sambutan yang amat baik.

“Walaupun sudah banyak produk cola di pasaran, namun keunikan produk minuman dengan rasa baharu ini dilihat mempunyai kekuatan tersendiri, khususnya dalam pasaran Jepun,” katanya.

Nada sama turut disuarakan Lim Min Jun, yang merupakan antara usahawan terlibat yang membawakan produk lampu LED berkualiti tinggi pada ekspo berkenaan dengan hasrat untuk menembusi pasaran Jepun.

Dia yang juga Jurutera Jualan dan Pemasaran Ligetech Automation Sdn. Bhd. berkata, ekspo berkenaan amat membantu dalam mempromosikan produk Melaka yang kini bukan sahaja setanding jenama antarabangsa, selain turut mementingkan amalan penerapan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Kami percaya penduduk di Jepun mementingkan kualiti dan kami yakin produk lampu yang dibawa ini amat bertepatan dengan permintaan pasaran di Jepun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

960
Kongsi :
Previous post PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA 2025 BAKAL JADI TUMPUAN
Next post RAIH PENGIKTIRAFAN ASEAN, BUKTI KOMITMEN MPHTJ