Sorting by

×

GERHANA BULAN PENUH, TYT HADIR PROGRAM CERAPAN DI DATARAN ISLAM

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PENGKALAN BATU 8 September – Program Cerapan Gerhana Bulan Penuh 2025: Melaka Bermunajat di Dataran Pusat Islam, Masjid Al-Azim malam tadi turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Ketibaan Tun Dr. Mohd Ali sekitar jam 12.34 tengah malam disambut oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Khairul Azreem Mamat; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),Datuk Md Azhan Samad serta kenamaan lain.

Program dimulakan dengan alunan ayat-ayat Kauniyah oleh qari jemputan yang merupakan Naib Johan Tilawah Al-Quran Kebangsaan, Muhammad Khairi Maidin.

Seterusnya, pencerahan Ibrah Fenomena Gerhana Bulan Penuh oleh Ahli Jawatankuasa Rukyah Hilal negeri, Dr. Kassim Bahali mengenai keesaan Allah SWT pada fenomena alam itu.

Sementara menunggu menunaikan Solat Sunat Gerhana, majlis diteruskan dengan alunan zikir munajat, solat hajat dan taklimat kaifiat Solat Gerhana.

Tepat jam 1.32 pagi, Tun Dr. Mohd Ali bersama lebih 200 jemaah yang hadir pada program itu menunaikan Solat Sunat Gerhana diimamkan oleh Imam Besar Masjid Al-Azim, Datuk Mohammad Hashim Al-Hafiz kemudian disusuli khutbah Gerhana Bulan Penuh.

Program anjuran bersama Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Persatuan Falak Syarie Negeri Melaka itu turut menghimpunkan Komuniti Astronomi

Selain memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan fenomena alam yang jarang berlaku, program itu juga diadakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 1447H.

Tun Dr. Mohd Ali turut meluangkan masa meninjau aktiviti cerapan menggunakan teleskop yang disediakan serta beramah mesra dengan para peserta termasuk pelajar sekolah, penuntut universiti dan pencinta ilmu falak.

Dalam pada itu, program berkenaan bukan sahaja menggalakkan masyarakat mendekati ilmu astronomi bahkan mengingatkan manusia tentang kebesaran ciptaan Allah SWT.

Fenomena gerhana bulan penuh atau dikenali sebagai Blood Moon dijangka dapat disaksikan di seluruh negara bermula malam Ahad hingga awal pagi Isnin ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

628
Kongsi :
Previous post KEJOHANAN TARIAN SINGA SEMARAKKAN HARI MALAYSIA DI MELAKA MALL
Next post ‘DULU BAWAH POKOK, SEKARANG JADI SUKAN POPULAR’