Sorting by

×

SEMAI SEMANGAT CINTAKAN NEGARA BUKAN BERMUSIM

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 9 September – Kesungguhan untuk menyubur serta menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukannya bermusim.

Sehubungan itu, program berteraskan patriotisme seperti Pentarama X Kelab Malaysiaku anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) dilihat sebagai platform penting untuk menyemai kesedaran tersebut sejak di bangku sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata semangat patriotisme tidak seharusnya bersifat bermusim, ia perlu disemai sepanjang tahun supaya generasi muda memahami peranan mereka sebagai warganegara.

“Saya kerap tegaskan bahawa kesedaran patriotisme ini harus bermula di sekolah kerana generasi muda adalah harapan negara di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Pentarama X Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JaPen Negeri Melaka, Ab Rasil Hajatil.

Menurutnya, sambutan positif ditunjukkan pelajar sepanjang program itu membuktikan generasi muda memiliki minat mendalam untuk memahami sejarah negara.

“Melalui program sebegini, kita membangkitkan semangat patriotisme dan memberikan pendedahan kepada pelajar berhubung sejarah penubuhan Malaysia dan nilai-nilai perjuangan,” katanya.

Katanya, dengan sokongan JaPen, penganjuran program ini dapat ditingkatkan daripada segi kualiti pengisiannya dan diperluaskan ke lebih banyak sekolah.

“Saya berharap sekolah-sekolah lain dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh dan seluruh Melaka turut melaksanakan inisiatif ini.

“Dengan pendekatan berterusan, kita dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga memiliki rasa cinta yang mendalam terhadap negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1055
Kongsi :
Previous post SIASAT RUNGUTAN PESERTA ACARA LARIAN, JAGA IMEJ MELAKA
Next post PERJUANGAN WANITA DALAM PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN KOMUNITI TERUS MENYALA