
BANTUAN PERSEKOLAHAN GALAK ANAK ORANG ASLI CEMERLANG AKADEMIK
ALOR GAJAH 9 September – Anak-anak masyarakat Orang Asli di negeri ini menunjukkan perkembangan amat membanggakan dalam aspek akademik, kata Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.
Katanya, keputusan yang baik dan kecemerlangan dalam bidang pendidikan membuktikan masyarakat Orang Asli mampu bersaing, sekali gus menepis tanggapan negatif kononnya mereka tidak boleh maju.
“Saya berbangga dengan pencapaian anak-anak masyarakat Orang Asli yang semakin cemerlang dalam bidang pendidikan. Ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang sentiasa mengutamakan kecemerlangan pendidikan anak-anak Melaka.
“Sehubungan itu Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM67,300 bagi membantu seramai 673 anak-anak masyarakat Orang Asli di negeri ini bagi sesi persekolahan tahun 2025. Besar harapan saya agar sumbangan disalurkan ini menyuntik semangat dalam diri mereka untuk memburu kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Kepada Pelajar Orang Asli Daerah Alor Gajah Sesi Akademik 2025 di Japerun Rembia, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perumahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba.

Fairul Nizam berkata, agihan sumbangan pada majlis itu melibatkan seramai seramai 328 anak-anak masyarakat Orang Asli di Daerah Alor Gajah yang turut melibatkan murid Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) KEMAS, sekolah rendah dan menengah.
Menurutnya, pada majlis sama, Bantuan Care IPT berjumlah RM13,000 turut diserahkan kepada 32 pelajar sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia dan Asahan yang akan melanjutkan pelajaran peringkat diploma dan ijazah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.