Sorting by

×

MELAKA CONTOH NEGERI PELANCONGAN HEBAT, DESTINASI SELAMAT – PM

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 9 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggambarkan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan tersohor yang bukan sahaja menarik tetapi juga selamat untuk pelancong.

Menurut beliau, contoh itu membawa indikator penting bahawa destinasi pelancongan di rantau Asia Tenggara selamat untuk dikunjungi dan dilawati.

Tambah beliau, meskipun telah banyak kali berkunjung ke negeri bersejarah ini, namun pada setiap kunjungannya beliau mendapati Melaka sentiasa segar bukan sahaja dalam sudut perkembangan ekonomi, bahkan turut menonjolkan budaya yang menarik.

“Saya sudah ke sini (Melaka) banyak kali, pada setiap kunjungan itu telah mencerminkan satu kekuatan dan kerancakan bukan sahaja untuk Melaka, bahkan Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-19 Dan Mesyuarat Berkaitan, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; barisan Exco Kerajaan Negeri dan kenamaan lain.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn; Menteri-Menteri ASEAN serta delegasi negara serantau.

Menurut Perdana Menteri, mesyuarat dan sesi dialog sepanjang AMMTC amat penting dalam memastikan keamanan, kemakmuran dan kemajuan rantau ini terus dipertahankan.

Menurut beliau, sesebuah keamanan itu perlu dipupuk bersama supaya rakyat tidak hidup dalam ketakutan dan tiada negara di rantau ini yang ketinggalan.

“Sebab itu saya menekankan betapa pentingnya agensi keselamatan dan sempadan kita untuk menangani segala isu jenayah yang berlaku sejak dahulu hingga kini.

“Kita mahu semua yang terlibat di rantau ini berganding bahu dan sudah tentu dengan kerjasama rakan antarabangsa supaya kita dapat memastikan rakyat sentiasa dilindungi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

492
Kongsi :
Previous post MUAFAKAT ASEAN KUNCI KESTABILAN SERANTAU – PM
Next post EMPAT ISU UTAMA JENAYAH RENTAS SEMPADAN TUMPUAN AMMTC KE-19