Sorting by

×

DUA SURAU KEM TENTERA MELAKA TERIMA SUMBANGAN BAIK PULIH

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SUNGAI UDANG 10 September – Dua buah surau dalam kawasan Kem Terendak dan Kem Sungai Udang menerima sumbangan baik pulih daripada Kerajaan Negeri bagi memberi lebih keselesaan kepada anggota tentera menunaikan ibadah.

Dua buah surau itu adalah Surau Al-Amin 8 RRD (Para) Kem Terendak dan Surau Al-Hidayah Kem Sungai Udang.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang Datuk Rais Yasin berkata, sumbangan menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu membabitkan peruntukan berjumlah RM15,000 bagi Surau Al-Amin dan RM20,000 bagi Surau Al-Hidayah.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, ia sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyuburkan syiar Islam dan mengambil berat keperluan masjid dan surau di negeri ini.

“Walaupun sumbangan ini tidaklah besar jika dibandingkan dengan jasa dan bakti yang ditaburkan anggota tentera dalam menjaga keselamatan negara dan Negeri Melaka, namun di pihak Kerajaan Negeri, kita akan sentiasa membantu dalam aspek kebajikan dan keperluan warga tentera.

“Insya-Allah, saya juga memberi komitmen selain bantuan daripada sudut pembangunan, kita juga akan memberi perhatian kepada penganjuran program-program membabitkan warga tentera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Cek kepada Masjid Al-Amin 8 RRD (Para) Kem Terendak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima 10 Briged (Para) Brigedier Jeneral Datuk Khairul Anwar Soib; Yang Dipertua Agama Islam Batalion Kelapan Rejimen Renjer DiRaja (Para) Mejar Muhammad Syazni Mohd Rohani; Ketua Unit Kejuruteraan MAIM Embi Omar serta lain-lain kenamaan.

Dalam ucapannya, Rais turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada semua surau di bawah Para Kem Terendak untuk menganjurkan program-program keagamaan bersempena Maulidur Rasul.

“Diharap dengan bantuan yang disalur menerusi Japerun Sungai Udang, semua surau di sini dapat menganjurkan program-program untuk kita memuliakan Nabi Muhamad S.A.W,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

623
Kongsi :
Previous post BUKAN CUBAAN CULIK, HANYA SALAH FAHAM ‘REBUT PEMADAM’
Next post HAMPIR RM1 JUTA INDAHKAN KAMPUNG BUKIT KATONG