
EE WEI IMPI HADIAHKAN KEJUARAAN LEBIH BESAR UNTUK NEGARA
PENGKALAN BATU 10 September – Beregu campuran negara, Toh Ee Wei yang kini berazam untuk meraih pencapaian lebih besar kepada negara pada masa akan datang.
Misi itu dizahirkan selepas dia bersama gandingannya Chen Tang Jie bergelar juara dunia di Paris, 31 Ogos lalu.
Menurut anak jati Bachang itu, kejayaan tersebut amat bermakna dalam perjalanan kariernya, namun ia bukan penamat untuk mengejar kejuaraan yang lebih besar dalam arena sukan badminton.
“Menjadi juara dunia adalah sesuatu ama menggembirakan bukan sahaja untuk saya tetapi semua termasuk rakyat Melaka dan keluarga.
“Untuk itu kami perlu terus ‘move on’ dan kembali memberi tumpuan kepada badminton kerana itu yang membawa kami ke tahap ini selain kekal fokus dah rendah diri,” katanya.
Dia ditemui selepas Majlis Makan Tengah Hari Sempena Meraikan Kejayaan Toh Ee Wei Bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Ab Rahman, di Bachang Villas, Club House, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP. Shanmugam; barisan Exco Kerajaan Negeri serta Ketua Pegawai Kumpulan Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd, Tan Seri Pang Tee Chew.
Pada majlis itu Ee Wei turut menerima insentif RM50,000 daripada Bachang Villas.
Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, Sukan Olimpik menjadi antara sasaran utamanya, namun menegaskan fokus kini adalah tertumpu kepada kejohanan terdekat yang akan berlangsung termasuk China Master.
“Olimpik masih lama iaitu tiga tahun lagi dan sudah pasti menjadi impian kami namun buat masa ini kami akan memberi perhatian kepada kejohanan terdekat.
“Terdekat kami akan beraksi di China Master dan sudah pasti untuk kejohanan ini kami akan cuba memberikan persembahan terbaik, selain mengekalkan momentum latihan,” katanya.
Ujar Ee Wei, untuk penyertaan di kejohanan lain, dia dan Tang Jie menyerahkan kepada jurulatih, selain ia juga bergantung kepada keadaan dan tahap kecergasan mereka berdua.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.