
KOMITMEN MBMB RANCAKKAN EKONOMI SETEMPAT TERIMA PENGIKTIRAFAN ASEAN
AYER KEROH 11 September – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerima Certificate of Recognition bagi kategori ‘Circular Economy for Small Cities’ di peringkat ASEAN hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif di Bandaraya Melaka.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, berkata anugerah itu diberikan di atas pelbagai program dilaksanakan pihaknya yang bukan sahaja memelihara alam sekitar, bahkan menjana ekonomi komuniti setempat.
“Antara program dilaksanakan ialah program kitar semula seperti pengumpulan minyak masak terpakai yang kemudiannya dijual semula.
“Hasil daripada jualan itu, penduduk dapat menjana pendapatan sampingan sekali gus menggalakkan penyertaan masyarakat dalam usaha melestarikan bumi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Tambah Shadan, pelaksanaan program Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir turut menjadi faktor kepada pengiktirafan tersebut kerana ia membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat melalui aktiviti perniagaan.
“Ini adalah kali pertama MBMB menerima anugerah tersebut yang dinilai oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
“Anugerah ini bukan sahaja meletakkan MBMB di peringkat ASEAN, malah turut mempromosikan Melaka sebagai negeri yang aktif melaksanakan program kelestarian alam,” katanya.
Majlis penyampaian anugerah berprestij itu berlangsung pada 3 September lalu bersempena AMME-18 Ministerial Dinner & 6th ASEAN Environmentally Sustainable Cities Award & 5th Certificate of Recognition Ceremony di Pulau Langkawi.
Majlis tersebut disempurnakan pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad yang mewakili Kerajaan Negeri Melaka.
Selain MBMB, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) turut menerima pengiktirafan dalam kategori ‘Clean Air for Small Cities’ yang disampaikan kepada Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.