
KERETAPI SARONG 2025: MENARA TAMING SARI, PERKASE ZAHIR TANDA KASIH
TELOK MAS 11 September – Seramai 45 penghuni Pertubuhan Kebajikan Villa Harapan dan Pusat Jagaan Teratak Kasih Bunda diraikan menerusi Program Jalinan Kasih yang berlangsung di Rumah Makan 100 Tahun, Jalan Ujong Pasir, di sini.
Program anjuran Pertubuhan Karya Seni (PERKASE) dengan kerjasama Menara Taming Sari itu diadakan sebagai pra-acara kepada program Keretapi Sarong 2025 yang julung kali diadakan di Melaka pada 13 September ini.
Program itu bukan sahaja bertujuan mempromosikan acara Keretapi Sarong 2025, malah turut menzahirkan tanda kasih sayang, keprihatinan dan rasa hormat terhadap warga emas sebagai golongan yang banyak berjasa dalam membina negara bersempena sambutan Hari Malaysia 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan berkata, program tersebut sejajar dengan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi mendekati masyarakat yang memerlukan.
“Program ini saya sifatkan sebagai meriah dan sangat dekat dengan hati kami sebagai agensi Kerajaan Negeri dalam sektor pelancongan untuk bersama-sama dengan masyarakat dan mereka yang memerlukan.
“Saya percaya ini juga memberikan impak besar dalam memperkukuhkan hubungan baik dengan pihak yang prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Jalinan Kasih di Rumah Makan 100 Tahun, Jalan Ujong Pasir, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi PERKASE Suhaib Daud dan lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Nur Azan turut mempelawa penghuni Villa Harapan dan Teratak Kasih Bunda untuk menikmati pengalaman melihat panorama Bandaraya Melaka daripada ketinggian 100 meter di Menara Taming Sari.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.