
PERUNTUKAN, GERAN PERTANDINGAN PIDATO RUKUN NEGARA AKAN DITAMBAH
AYER KEROH 11 September – Kementerian Perpaduan Negara sedia menambah peruntukan dan pemberian insentif geran kepada juara bagi Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka tahun depan.
Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia susulan pertandingan yang memasuki edisi keenam itu dilihat semakin mendapat sambutan saban tahun, termasuklah merekodkan lebih 9,000 penyertaan dalam lima kategori yang dipertandingkan pada tahun ini.
Malah, beliau juga turut menzahirkan rasa kagum di atas bakat yang dipamerkan generasi muda seawal bangku sekolah rendah yang dapat berhujah dengan penuh semangat dan bijaksana.
“Saya amat berharap penyertaan peserta dari Sabah dan Sarawak untuk pertandingan ini juga akan terus meningkat berlipat kali ganda, selain kita juga bercadang untuk menambah lagi peruntukan bagi pertandingan ini pada edisi akan datang.
“Selain itu, pemberian geran sebagai insentif kepada Kelab Rukun Negara di sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga akan dinaikkan bagi memberi motivasi kepada pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Pertandingan akhir itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak Profesor Madya Dr. Ainuddin Iskandar Lee Abdullah serta lain-lain kenamaan.
Menurut Aaron, setakat ini terdapat lebih 6,000 Kelab Rukun Negara telah ditubuhkan di sekolah-sekolah, manakala di peringkat IPT membabitkan hampir 200 kelab.
Jelas beliau, selain pertandingan pidato, Rukun Negara juga turut disuburkan menerusi pertandingan debat di peringkat IPT yang diadakan dua tahun sekali.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.