Sorting by

×

223 ANAK ORANG ASLI DAERAH JASIN TERIMA BANTUAN PERSEKOLAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

ASAHAN 11 September – Seramai 223 anak-anak Orang Asli di daerah Jasin menerima bantuan persekolahan daripada Kerajaan Negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) bagi sesi akademik 2025.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, setiap pelajar menerima sumbangan tunai bernilai RM100 melibatkan murid Tabika KEMAS, sekolah rendah dan menengah.

“Penyampaian bantuan ini kesinambungan daripada program yang kita adakan sebelum ini di daerah Alor Gajah.

“Secara keseluruhan, terdapat seramai 673 pelajar Orang Asli di seluruh Melaka tahun ini yang menerima sumbangan persekolahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Kepada Pelajar-Pelajar Orang Asli Daerah Jasin di Dewan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar TAPEM, Abdul Aziz Baba dan Pengarah JAKOA Negeri Sembilan dan Melaka, Shahrani Idderis.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, jumlah bantuan kali ini meningkat daripada RM50 sebelum ini kepada RM100 sebagai usaha meringankan beban ibu bapa Orang Asli.

“Kerajaan Negeri komited memastikan pendidikan milik semua pihak, tanpa mengira kaum termasuk anak-anak Orang Asli. Mereka juga berhak mendapat pendidikan yang baik.

“Selain bantuan tunai daripada TAPEM, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) turut menyalurkan bantuan lain seperti perkhidmatan bas dan wang belanja harian untuk pelajar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

491
Kongsi :
Previous post KOMITMEN MBMB RANCAKKAN EKONOMI SETEMPAT TERIMA PENGIKTIRAFAN ASEAN
Next post RICHARD, BUKAN MELAYU PERTAMA RANGKUL GELARAN JOHAN KESELURUHAN PIDATO RUKUN NEGARA