Sorting by

×

AMMTC KE-19 BUKTI MELAKA TUAN RUMAH BERTARAF DUNIA – KM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KOTA LAKSAMANA 12 September – Penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-19 di negeri ini memberi makna besar kepada Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka bukan sahaja muncul sebagai tuan rumah terbaik, malah berpeluang memperkenalkan keunikan sejarah, kepelbagaian budaya dan keramahan rakyat kepada delegasi serantau.

Katanya, kehadiran pemimpin keselamatan ASEAN yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, membuktikan Melaka mampu menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah persidangan berprestij.

“Daripada pencapaian ini, kita lihat Melaka mengambil dua peluang sekali gus. Pertama, menjadi tuan rumah terbaik dan kedua, dapat mempromosikan negeri bersejarah ini dalam sektor pelancongan.

“Kesempatan ini juga diambil untuk mempromosikan Melaka yang bakal menjadi tuan rumah di peringkat dunia, bagi Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Persembahan Kebudayaan Sempena AMMTC Ke-19 di Encore Melaka, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut menzahirkan penghargaan kepada Saifuddin dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas sokongan memilih Melaka sebagai lokasi AMMTC Ke-19 serta pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Ini juga kesempatan untuk Melaka bersedia menjadi tuan rumah WTD 2025 yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 September ini.

“Persiapan yang kita lihat ini adalah sebahagian daripada kesiapsiagaan yang lebih mantap, gemilang dan menarik dengan pelbagai pengisian rapi untuk acara pelancongan dunia nanti.

“Insha-Allah kita akan mempersembahkan yang terbaik dan lebih menarik pada majlis berskala besar bertaraf dunia,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

533
Kongsi :
Previous post MELAKA JADI SAKSI SOLIDARITI ASEAN
Next post MELAKA DAPAT PUJIAN DELEGASI ASEAN