Sorting by

×

23 PENGAMAL MEDIA MELAKA TERIMA TAJAAN CARUMAN PERKESO

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

ALOR GAJAH 27 September – Tajaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Skim Lindung Kendiri kepada 23 pengamal media sambilan dan kontrak di Melaka menerima manfaat itu sebelum ini diteruskan bagi tempoh setahun lagi.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, skim berkenaan akan bermula Oktober ini.

Katanya, meskipun subsidi daripada Kementerian Komunikasi tidak disediakan tahun ini, pihaknya tetap menanggung bayaran caruman tersebut sebagai sokongan kepada pengamal media di Negeri Melaka menerusi portfolio beliau.

“Jumlah caruman ini melibatkan kira-kira RM157 seorang untuk tempoh setahun yang memberi perlindungan penuh kepada pengamal media supaya mereka tidak terdedah tanpa jaminan sosial sekiranya berlaku kemalangan atau musibah ketika bertugas.

“Bagi 2024 kementerian ada memberi subsidi, tetapi tidak tahun ini. Walaupun begitu, saya tetap akan bantu media di Melaka agar mereka terus dilindungi,” katanya ketika berucap pada Program Jalinan Mesra PERKESO bersama Media Melaka 2025, di sini,

Beliau menegaskan skim ini penting kerana ramai pengamal media sambilan atau kontrak tidak mendapat caruman daripada syarikat masing-masing, sekali gus menyebabkan mereka berisiko tidak mempunyai perlindungan sosial.

Caruman tersebut akan berkuat kuasa sehingga awal Oktober dan akan disambung semula supaya semua penerima terus menikmati perlindungan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1072
Kongsi :
Previous post LEBIH 100 PROGRAM WARNAI WRUR DUN KLEBANG
Next post BAYI LELAKI DITINGGALKAN DI PERHENTIAN BAS ALAI