Sorting by

×

MELAKA ‘BERKEMILAU’, VM 2026 DILANCAR PENUH GILANG-GEMILANG

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

KLEBANG 27 September – Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) dilancarkan penuh gilang-gemilang di bumi bersejarah Melaka, sekali gus menjadi simbolik tahun penting sektor pelancongan negara, tahun depan.

Lebih istimewa, pelancaran yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut disaksikan delegasi pelancongan dari seluruh dunia yang kini sedang ‘berkampung’ di Melaka sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.

Malam penuh bersejarah itu membawa satu keunikan tersendiri apabila ia berlangsung di atas pentas terapung bertaraf dunia menghadap Selat Melaka yang menjadi selat terpenting perdagangan sejak dahulu hingga kini.

Majlis perasmian itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Turut bersama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; menteri-menteri pelancongan serta delegasi dari 159 buah negara yang hadir serta lain-lain kenamaan.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Majlis dimulakan dengan Pengisytiharan Enrique de Malaca sebagai anak Melaka dan manusia pertama mengelilingi dunia berdasarkan kajian dan dapatan sejarah yang dijalankan.

Malah, dapatan dan kisah sejarah Enrique de Malaca atau lebih dikenali sebagai Panglima Awang turut dipersembahkan Kerajaan Negeri Melaka menerusi Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malacca @ Panglima Awang yang berlangsung di Encore Melaka bermula 23 hingga 30 September.

Selepas itu, berlangsungnya gimik perasmian yang disempurnakan Perdana Menteri, di mana uniknya, sebanyak 1,000 dron telah diterbangkan bagi membentuk pelbagai formasi berkaitan pelancongan, termasuk logo rasmi VM 2026.

Tidak lengkap rasanya jika tiada ‘menu’ seni dan budaya dipersembahkan pada malam penuh gilang-gemilang itu.

Antara yang mencuri tumpuan ramai adalah persembahan nyanyian oleh artis popular tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar serta lagu ikonik Senandung Anak Melaka.

Tidak hanya itu, majlis tersebut turut mencipta sejarah baharu apabila berjaya menghimpunkan 3,224 penari yang mempersembahkan ‘flashmob’ tarian zapin, sekali gus tercatat dalam lembaran Malaysia Book Of Records.

Selain pelancaran VM 2026, Melaka juga dipilih mewakili Malaysia menjadi tuan rumah WTD dan WTC 2025 yang diadakan pada 27 hingga 29 September.

WTD 2025 yang bertemakan ‘Pelancongan dan Transformasi Mampan’ itu memberi penekanan kepada kelestarian, keterangkuman dan inovasi dalam sektor pelancongan.

Lebih penting, ia disasarkan menarik 16.5 juta pelancong ke Melaka dengan unjuran pendapatan RM23.48 bilion bagi tahun
2025, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab pelancongan serantau.

Bersempena acara pelancongan dunia berprestij itu, Kerajaan Negeri turut menganjurkan Karnival WTD 2025 yang menampilkan lebih 200 program sampingan, antaranya, Pesta Konda-Kondi Negeri Melaka; Karnival Usahawan; Pesta Layang-Layang Antarabangsa; Visit Malaysia Travel Meet; bengkel kraftangan serta lain-lain lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1081
Kongsi :
Previous post PM TABIK KEHEBATAN MELAKA LANCAR TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026
Next post MELAKA PACU PELANCONGAN LESTARI, PERKASA KOMUNITI SETEMPAT