Sorting by

×

UNTA SERTAI PERARAKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SUNGAI UDANG

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SUNGAI UDANG 28 September – Sambutan Maulidur Rasul peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, mencipta kelainan apabila seekor unta dibawa menyertai perarakan yang melibatkan lebih 800 peserta.

Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata kehadiran unta dalam perarakan tersebut nyata mencuri perhatian orang ramai, khususnya kanak-kanak yang teruja melihat haiwan padang pasir itu dibawa berarak buat julung kali.

Katanya, langkah itu menjadi pendekatan kreatif bagi menarik minat masyarakat untuk bersama-sama meraikan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Saya sendiri terperanjat dengan kreativiti pihak urus setia apabila mereka membawa seekor unta.

“Kehadiran unta ini ternyata menghidupkan suasana dan menjadi tarikan unik dalam perarakan kali ini,” katanya.

Beliau Yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajan Tempatan, Perubahan Iklim, Saliran dan Pengurusan Bencana negeri, berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN Sungai Udang di Kompleks Japerun Sungai Udang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rais turut menzahirkan penghargaan kepada semua kontinjen dan pihak urus setia yang menjayakan program tersebut dengan lancar dan penuh semangat

Jelasnya, sebanyak 22 kontinjen terdiri daripada penduduk sekitar, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), anggota 10 Briged Para, Jabatan Penjara Malaysia serta pelbagai agensi kerajaan mengambil bahagian dalam perarakan itu.

“Pada sebelah malam, sambutan diteruskan dengan ceramah perdana yang disampaikan oleh pendakwah jemputan, Ustaz Rahimi, sebagai pengisian rohani untuk para jemaah dan penduduk setempat.

“Penganjuran ini juga mencerminkan semangat masyarakat Sungai Udang yang sentiasa mahu mengimarahkan sambutan bulan Maulid meskipun hampir ke penghujungnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post SITI NURHALIZA JADI INSPIRASI FAN BINGBING, MAHU NYANYI LAGU MELAYU
Next post JONKER STREET DAN BABA NYONYA PIKAT FAN BINGBING