
PEJABAT KETUA MENTERI MELAKA GESA SIASAT 4×4 PAMER TULISAN HEBREW
SERKAM 7 Oktober – Kerajaan Negeri menerusi Pejabat Ketua Menteri Melaka membuat laporan polis berhubung video tular menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang memaparkan pelekat tulisan bahasa Hebrew yang dipercayai membawa maksud ‘Malaysia milik kami’ di negeri ini.
Laporan itu dibuat Pegawai Khas Agama Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon selepas video berdurasi 14 saat yang didakwa berlaku di Melaka tular di media sosial hari ini.
Hairul Amin berkata, penggunaan tulisan etnik Ibrani yang juga bahasa rasmi Israel itu amat tidak sensitif terhadap sentimen umat Islam di negara ini, apatah lagi ketika konflik di Gaza masih berlarutan.
“Perbuatan itu boleh menimbulkan kegusaran awam di saat masyarakat sedang marah menyaksikan kekejaman berterusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
“Tulisan Hebrew yang difahamkan bermaksud ‘Malaysia milik kami’, ‘Malaysia di tangan kami’ atau ‘Malaysia rumah kami’ wajar disiasat segera,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Susulan kejadian itu, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau pada jam 3.32 petang selepas melihat video berkenaan yang tular di media sosial tengah hari tadi.
Menurutnya, hasil perkongsian pengguna media sosial mendapati kenderaan jenis Isuzu itu dipercayai dikesan berada di sekitar Melaka dan turut bergerak ke Negeri Sembilan.
“Perkara ini amat menyentuh hati rakyat, khususnya umat Islam di Melaka yang mengikuti rapat perkembangan di Gaza serta misi bantuan Sumud Flotilla,” ujarnya lagi.
Justeru, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti pemilik kenderaan serta asal-usul pelekat berkenaan, selain menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.