
PENDIDIKAN PERCUMA PTPTN KEPADA 5,800 ANAK KELUARGA MISKIN MULAI TAHUN HADAPAN
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu, melibatkan peruntukan RM120 juta setahun bagi keluarga miskin, iaitu pendapatan isi rumah kurang dari RM2,705.
“PTPTN lahir daripada iltizam mengeluarkan anak bangsa daripada kancah kemiskinan melalui pendidikan.
“Jadi ini satu permulaan yang berani yang belum difikirkan dulu dan kita harap ini dapat ditingkatkan mengikut keupayaan kewangan negara berikutnya.
Kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang perolehi Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah, yang akan memberi manfaat sekitar 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun.
Anwar berkata kerajaan juga akan mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam yang mampu bayar dan bekerja di luar negara, tetapi culas membuat bayaran balik.
Selain itu, kerajaan bersetuju menambah 1,500 lagi unjuran tempat bagi Ijazah Sarjana Muda dalam 10 bidang pengajian di lima universiti penyelidikan, antaranya undang-undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, kewangan Islam, kecerdasan buatan (AI) serta bahasa.
“Kerajaan juga prihatin kepada kegusaran ramai pelajar cemerlang terutama lulusan STPM untuk mendapat tempat di IPT terpilih,” kata Perdana Menteri.
Bagi memperkasakan bidang perubatan, Anwar berkata kerajaan bersetuju melaksanakan dua projek kerjasama awam-swasta iaitu Pembangunan Teknopolis Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya Health Metropolis, untuk membangunkan Hospital di Petaling Jaya dengan kerajasama Kerajaan Negeri Selangor.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga bersetuju membenarkan hospital pengajar universiti awam, menubuhkan tabung endowmen dan sumbangan diterima layak mendapat potongan cukai pendapatan serta semua sumbangan yang diterima, termasuk pendapatan yang terbit dari tabung, dikecualikan cukai sepenuhnya.
Anwar berkata bidang aeronautik akan diperkasakan dengan peruntukan RM16 juta dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan membangunkan Air Space Sandbox di Sungai Batu Pahat, Perlis iaitu kemudahan pertama negara bagi pengujian penerbangan altitud rendah yang kian penting dalam sektor logistik, pemetaan, pertanian pintar dan keselamatan.
Manakala Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi universiti di ASEAN pertama yang punyai lapangan terbang, bagi menyokong industri penerbangan maritim dan melahirkan juruterbang amfibia tempatan.
Bagi membantu anak muda melanjutkan pengajian, Anwar berkata peruntukan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebanyak RM4.4 bilion disediakan sebagai biasiswa, pinjaman, elaun pendidikan untuk anak muda keluarga miskin melanjutkan pelajaran.
Sementara itu, pihak swasta diberi insentif potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan biasiswa kepada pelajar berkelayakan meliputi biasiswa Ijazah Sarjana Muda dan turut diperluas kepada kelayakan profesional antaranya dalam bidang ICT, kejuruteraan, perakaunan dan kewangan.
Anwar berkata Ikhtiar Dapur MADANI, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diperuntukkan RM26 juta supaya mahasiswa dibekalkan dengan peralatan memasak dan bahan mentah, selain Dapur MADANI turut dilaksanakan untuk mengusahakan bantuan makanan kepada mahasiswa susah, melalui sumbangan CSR sektor swasta.
“Program MySiswa Job On Campus juga dilaksanakan iaitu peluang pekerjaan sambilan di dalam kampus, dengan peruntukan RM20 juta bagi membantu mahasiswa serba kekurangan mendapat pendapatan dan melatih kemahiran keusahawanan yang boleh dimanfaat selepas bergraduasi.
Memahami kekangan universiti yang sedang berdepan krisis penginapan, Anwar berkata sebagai langkah awal, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Universiti Malaya, akan merintis kerjasama membina 1,000 unit residensi di UM. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.